fbpx
Baju yang dipakai ketika kejadian turut dirampas dalam milikan suspek.

Polis berkas suspek bunuh sembunyi di kebun sayur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Nepal yang diburu bagi kes bunuh rakan senegara diberkas di sebuah pondok sayur di Bentong, Pahang awal pagi tadi.

Suspek berusia 30 tahun itu diburu sejak Khamis lalu susulan terlibat dalam pergaduhan sebelum menikam rakan sekerjanya berusia 27 tahun di sebuah kondominium di Jalan Gurney 2, Wangsa Maju.

Difahamkan, suspek dan mangsa bekerja sebagai pengawal keselamatan selain tinggal di unit kediaman yang sama sejak enam bulan lalu bersama enam rakan lain.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 2.40 petang berhubung kejadian mangsa dibunuh menggunakan sebilah pisau berukuran 12 sentimeter.

Katanya, hasil keterangan saksi memberitahu mangsa dan suspek berada dalam keadaan mabuk sebelum berlaku pertengkaran mulut.

“Bagaimanapun, pertengkaran itu bertukar menjadi tragedi apabila mangsa tiba-tiba ditikam oleh suspek.

“Panik dengan kejadian tersebut suspek melarikan diri dan hasil pemeriksaan polis di lokasi kejadian kita menemui pisau yang dipercayai digunakan suspek,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Menurutnya lagi, bertindak atas maklumat, pihak polis berjaya menahan suspek di sebuah pondok kebun sayur di Kampung Bukit Tinggi, Bentong.

“Suspek melarikan diri ke sana susulan mempunyai kenalan.

“Suspek akan direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” ujarnya. – K! ONLINE