fbpx

Faizal, Razie pamer ketajaman sebenar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAIZAL (tengah) mempamerkan aksi cemerlang apabila meledak empat gol ke atas ATM di Stadium Hoki Nasional hari ini. - FB HOKITA

KUALA LUMPUR – Bintang Terengganu, Faizal Saari membuktikan statusnya sebagai penyerang hoki terbaik negara apabila meledak empat gol membelasah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 5-1 pada aksi Piala Tun Abdul Razak di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Ia seakan-akan memberi bayangan bahawa Faizal, 29, sudah sedia untuk kembali tersenarai dalam skuad negara sekiranya dipilih ketua jurulatih, Arul Selvaraj selepas namanya digugurkan bekas pengendali, Roelant Oltmans awal tahun ini.

“Saya tidak pasti sama ada Arul ada menyaksikan perlawanan ini ataupun tidak. Saya anggap ini rezeki buat saya sekiranya terpilih semula bersama pasukan kebangsaan.

“Saya sudah kembali selepas tujuh bulan tidak beraksi. Sasaran saya untuk muncul penjaring terbanyak kejohanan. Saya akan cuba memberikan aksi yang lebih baik dalam perlawanan seterusnya,” kata Faizal selepas tamat perlawanan.

Terengganu yang dikendalikan Tai Beng Hai meraih jaringan pertama menerusi Mohamad Akhimullah Anuar Esook (m-24) sebelum Faizal memastikan kemenangan bergaya mereka dengan empat gol pada minit ke-29, 34, 35 dan 48.

Ia sekali gus menyaksikan Faizal kini sudah mengumpul lima jaringan peribadi selepas berjaya meledak satu gol ketika menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 5-0 pada aksi pertama Kumpulan C semalam.

RAZIE (kanan) berjaya menjaringkan enam gol membantu PDRM menewaskan Kelantan 8-0. – FB MHC

Sementara itu, tonggak pertahanan PDRM dan skuad kebangsaan, Muhammad Razie Abd. Rahim menebus kekalahan semalam apabila bangkit berpesta gol membelasah Kelantan 8-0 dalam satu lagi aksi yang berlangsung semalam.

Bukan itu sahaja, Razie juga membuktikan ketajamannya mengambil pukulan sudut penalti apabila berjaya menjaringkan enam gol melalui situasi itu pada minit ke-10, 11, 14, 16, 21 dan 53 permainan.

Dua lagi gol PDRM yang dikendalikan Jivan Mohan berjaya dijaringkan Baljit Singh Sarjab dan Azreen Rizal Nasir masing-masing pada minit ke-24 serta 29. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI