fbpx

Kilang tekstil musnah terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah kilang tekstil di Jalan Teknologi 2 di Kawasan Perindustrian Mengkibol, Kluang, Johor musnah terbakar dalam kejadian bermula kira kira 2 pagi tadi. Foto MOHAMAD FAHD RAHMAT

Oleh MOHAMAD FAHD RAHMAT

KLUANG – Sebuah kilang tekstil di Jalan Teknologi 2 di Kawasan Perindustrian Mengkibol di sini musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran awal pagi tadi.

Komander Operasi, Penguasa Bomba Zon 3, Mohamed Faiz Muin Mohamed Rasidi berkata, kejadian bermula pukul 2 pagi dan hingga kini operasi memadam kebakaran masih dilakukan.

Katanya, operasi pemadaman itu dijangkakan mengambil masa sehingga lewat petang ini.

“Kami jangka operasi memadamkan kebakaran ini akan mengambil masa lebih dari 12 jam dan kami sudah bekerja sejak sampai di lokasi pada 2.42 pagi tadi.

“kain kapas dan kedudukan barangan yang padat menyukarkan bomba memadamkan kebakaran dalam masa singkat,”katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohamed Faiz berkata, kilang tekstil itu sudah enam bulan tidak beroperasi dan tiada pekerja berada dalam kilang sewaktu kebakaran terjadi.

Jelasnya, anggaran kerugian dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Terdahulu, empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Renggam dan Ayer Hitam bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan mengenai insiden itu pada 2.36 pagi.

Keseluruhan 35 anggota bomba termasuk empat pegawai bertungkus lumus memadamkan kebakaran di kilang seluas 40,000 kaki persegi berkenaan.

Sementara itu, pengawal keselamatan yang bertugas yang mahu dikenali sebagai Appu berkata, kejadian berkenaan disedari kira-kira 2 pagi.

“Kebakaran disyaki bermula di bahagian depan kilang dan merebak dengan pantas ke bahagian lain.

“Tiada pekerja sebab kilang ini selain hanya seorang pengawal keselamatan yang bertugas dan tiada pekerja lain di lokasi,” katanya.-K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN