fbpx

Suri rumah rugi RM15,000 ditipu ‘koperal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SEBERANG PERAI – Seorang suri rumah di Kepala Batas di sini berputih mata selepas wang simpanannya sebanyak RM15,000 lesap dipercayai akibat ditipu sindiket Macau Scam semalam.

Mangsa wanita berusia 60-an itu dikatakan terjerat dalam sindiket itu selepas menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa wakil dari pejabat pos pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa terpedaya kononnya terdapat bungkusan yang dipos atas namanya yang mengandungi lapan keping kad kredit.

Beliau berkata, panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada individu yang mendakwa pegawai penyiasat polis berpangkat koperal di Seremban, Negeri sembilan.

“Koperal tersebut memaklumkan mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan dadah, manakala salah seorang suspek lain dikatakan telah ditahan.

“Mangsa juga diberitahu bahawa kes itu dalam siasatan dan meminta untuk tidak memaklumkan kepada sesiapa dan memberi kerjasama memandangkan dia adalah suspek utama,” katanya kepada pemberita hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa yang terkejut dan terlalu takut dengan panggilan itu tanpa berfikir panjang telah mengikut arahan Koperal tersebut dengan memasukkan wang berjumlah RM15,000 ke dalam akaun yang diberikan.

“Mangsa membuat tiga transaksi ke dalam satu akaun yang dia percaya adalah bagi tujuan siasatan.

“Mangsa juga dimaklumkan bahawa wang itu akan dipindahkan kepada Jabatan Audit Negara ketika proses siasatan,” katanya.

Menurut Noorzainy, wanita itu bagaimanapun menyedari dirinya telah diperangkap oleh sindiket sebelum membuat laporan polis di sini semalam.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI