fbpx

Sugu dilepas tanpa dibebaskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
M. Sugu (kiri) dan S. Pavithra (kanan) hadir ke Mahkamah Sesyen Ipoh untuk sebutan semula kes pukul isteri dan memiliki senjata berbahaya di Mahkamah Sesyen Ipoh. - Foto ZULFACHRI ZULKIFLI.

Oleh ASLIZA MUSA

IPOH – Suami kepada YouTuber masakan, S. Pavithra dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mendatangkan kecederaan kepada wanita itu Julai lalu.

Hakim Norashima Khalid membuat keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan pendakwaan untuk melepas tanpa membebaskan M. Sugu, 29.

Terdahulu, Pavithra, 28, dipanggil memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi di mana dia memberitahu tidak mahu meneruskan kes dan ingin menarik semula pertuduhan ke atas suaminya.

Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd. Radzi bagaimanapun memohon agar mahkamah membenarkan permohonan pihaknya untuk tertuduh dilepas tanpa dibebaskan sekiranya terdapat keperluan untuk kes tersebut dibuka semula.

Bagaimanapun, peguam Muhamad Syahrul Nizam Mohd. Rabi yang mewakili Sugu membantah permohonan berkenaan memandangkan pengadu iaitu Pavithra yang merupakan saksi utama sudah menarik balik kes tersebut dan tiada keperluan untuk kes itu dituduh semula.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan di bahagian bibir, pipi sebelah kiri dan lengan kanan isterinya dengan menggunakan telefon bimbit dan hulu sabit.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) antara pukul 4 hingga 6 petang, 21 Julai lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Sementara itu di mahkamah sama, Hakim Norashima menetapkan 22 Oktober ini untuk sebutan semula kes ke atas Sugu yang didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukuran 66 sentimeter bertulis Tiger.

Sugu didakwa memiliki sabit berkenaan di parkir HRPB Ipoh pada pukul 6 petang, 21 Julai lalu.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Muhamad Syahrul Nizam ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pihaknya telah memohon representasi untuk pihak pendakwaan meneliti dan menyemak semula pertuduhan bagi kes memiliki senjata berbahaya.

Katanya, pihaknya percaya terdapat merit pembelaan yang perlu dipertimbangkan oleh pihak pendakwaan di dalam pertuduhan berkenaan.

“Permohonan telah diserahkan kepada pihak pendakwaan dan mereka akan rujuk kepada Pengarah Pendakwaan negeri untuk arahan lanjut,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI