SEPERTI jalur muzik lain, gelombang hip hop tanah air juga berevolusi seiring waktu. Dahulu, industri pernah diserikan dengan kehadiran kumpulan hip hop yang dengan cemerlangnya melestarikan budaya rap, Too Phat.
Sehingga kini, nama kumpulan yang dianggotai Malique dan Joe Flizzow itu setia terpahat dalam hati peminat biarpun Malique sudah tidak lagi aktif, sementelah Joe menjadi rujukan melalui acara kendaliannya, 16 Baris.
Kini, nama K-Clique pastinya yang sedang meniti di bibir peminat.

Kumpulan yang dianggotai lapan orang anak muda berwawasan iaitu MK, Noki, Tuju, KDeaf, FareedPF, Gnello, NastyNas dan Somean mula menembusi muzik arus perdana menerusi single debut, Mimpi (featuring Alif).
HibGlam berpeluang mendekati salah seorang anggota kumpulan yang sedang hangat dengan single Merais itu, Somean atau nama sebenarnya, Muhammad Syahmin Naim Igbal Khan.
Lelaki itu datang ke Balai Berita, Bangsar bersama dua rakan karibnya, Alan D dan Axel Jonas daripada kumpulan MassMusic bagi mempromosikan single terbaharu berjudul Jauh.
“Hip hop dahulu dan sekarang sudah banyak perubahan. Macam fesyen juga, muzik juga berevolusi. Begitu juga dengan hip hop.
“Kalau di Amerika Syarikat, hip hop menjadi genre muzik paling senang mendaki carta, namun tidak di Malaysia. Perlahan-lahan arus itu sedang berubah.
“Kami bermula dari bawah, segala susah payah yang telah kami (K-Clique) lalui, dijadikan motivasi dan peringatan untuk tidak terlalu mendongak ke langit,” kata Somean.

Semakin terbuka – Somean
Sambil menzahirkan rasa syukur apabila K-Clique semakin dikenali peminat tempatan, Somean tidak menafikan bahawa khalayak sudah terbuka untuk menerima budaya atau gaya rap kumpulan yang dianggotainya.
“Muzik hip hop sudah berkembang.
“Sekarang sudah ada banyak sub-genre seperti trap music, battle rap dan banyak lagi yang semakin diterima di Malaysia.
“Apabila K-Clique mendapat respons yang positif ketika Mimpi (featuring Alif) meletup kira-kira dua tahun lalu, situasi tersebut mengingatkan kami bahawa kejayaan tidak datang bergolek.
“Kami bekerja keras untuk berada pada tahap sekarang.
Bukan suatu perkara yang mudah untuk dicapai andai tidak dilengkapkan dengan usaha, kerja keras dan kesungguhan sebagai sebuah kumpulan,” kata Somean panjang lebar.
Dua sahabat daripada jalur muzik sama, Alan D dan Axel Jonas MassMusic turut tumpang gembira dengan kejayaan K-Clique yang berjaya menakluk dunia hip hop tempatan dalam tempoh agak singkat.
“Kami daripada MassMusic tumpang bangga dan gembira dengan K-Clique yang kini boleh dikatakan antara kumpulan hip hop paling popular di Malaysia.
“Dengan kejayaan dan pencapaian yang dikecapi mereka, sedikit sebanyak membuka jalan dan memberi inspirasi untuk kami yang masih bertatih secara indie atau underground,” ujar Axel.
Sebelum ini, MassMusic pernah berkolaborasi dengan dua anggota K-Clique iaitu Tuju dan FareedPF menerusi single Ulang, sementelah Alan D sendiri pernah menjalin kerjasama dengan MK dalam lagu IMSO.
“Kami sudah kenal lama. Kolaborasi kami bukan biasa-biasa tetapi lebih kepada persahabatan.
“Ketika proses rakaman dalam studio, kami relaks sahaja macam tidak menjalani proses rakaman,” kata Alex bersahaja.

PKP inspirasi Jauh
Diajak bercerita tentang single Jauh ciptaan bersama Somean, Alex dan Alan, tanpa berselindung, mereka berkata, lagu tersebut terhasil ekoran pandemik Covid-19 yang kemudian membawa
kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia.
“Jauh sebuah karya yang ringkas. Bagi saya, istimewanya lagu ini kerana sangat mudah difahami,” kata Axel.
Ibarat pepatah Melayu, jauh di mata, dekat di hati walaupun terpisah jauh dengan orang tersayang, perasaan cinta antara dua jiwa tetap utuh.
Itu mesej yang cuba disampaikan menerusi lagu Jauh.
Tambah Axel, jarak jauh bukan penghalang untuk terus mengeratkan lagi hubungan cinta.
Seperti maksud peribahasa Inggeris ‘Absense makes the heart grow fonder’.
“Apabila orang tersayang tidak berada di sisi kita, akan menimbulkan rasa rindu yang amat mendalam, sekaligus menyedarkan kita betapa kita kasih dan memerlukan kehadiran seseorang itu dalam hidup kita.
“Lagu ini bagi meraikan kecekalan pasangan di luar sana yang sedang terpisah jauh menanti waktu kembali bersama,” jelas Axel bersemangat.
Mengiakan penjelasan anggota sekumpulannya, Alan menambah: “Lagu ini mengambil inspirasi daripada krisis kesihatan yang melanda dunia sekarang.
“Jauh merupakan pengisytiharan cinta antara pasangan yang saling merindui, tetapi tidak boleh kembali ke pangkuan masing-masing kerana terhalang oleh sekatan perjalanan global,” kata Alan.
Diterbitkan Def Jam Malaysia dengan kerjasama Universal Music Malaysia sebagai pengedar, Jauh sudah boleh dinikmati menerusi platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan Apple Music bermula 28 Ogos lalu.















