fbpx

21 kes Covid-19, Kluster Selamat dikesan di Semporna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

Oleh SITI A’ISYAH SUKAIMI

PUTRAJAYA – Sebanyak 21 kes Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif sebanyak 10,052 kes.

Angka kes yang direkodkan itu termasuk daripada kluster baharu iaitu Kluster Selamat dilaporkan di Semporna, Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes hari ini, 16 kes adalah penularan tempatan manakala lima lagi adalah kes import.

Menurutnya, bagi kes penularan tempatan, satu daripadanya daripada kluster baharu iaitu Kluster Selamat di Semporna dengan kes indeks kluster ialah wanita warga Malaysia berusia 32 tahun.

“Selain itu, dua lagi kes penularan tempatan membabitkan kes saringan Kluster Benteng LD iaitu seorang warga Malaysia dan seorang lagi warga asing.

“Dua lagi kes di Sabah ialah satu saringan kemasukan ke Hospital Tawau membabitkan seorang warga Malaysia dan satu lagi saringan sign-off kapal di Pelabuhan Sipitang membabitkan seorang warga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, Kedah pula melaporkan tujuh kes dengan enam kes tersebut daripada Kluster Sungai.

“Satu lagi kes di Kedah ialah kes saringan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran Daerah Kota Setar membabitkan seorang warganegara,” katanya.

Beliau berkata, kes penularan tempatan turut dilaporkan di Pulau Pinang dengan dua kes saringan kontak rapat kepada kes ke-9,397 yang merupakan ahli keluarga tinggal serumah dan kedua-duanya warga Malaysia.

“Selangor dan Sarawak masing-masing melaporkan satu kes iaitu saringan bergejala di Hospital Sungai Buloh dan kes saringan pintu masuk antarabangsa yang kedua-dua membabitkan warganegara,” katanya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, lima kes import pula membabitkan warga Malaysia yang pulang dari negara New Zealand, India, Pakistan dan China. K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI