fbpx

Tiga ADUN sertai Program Gendong Bini sempena Hari Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SERAMAI 30 pasangan termasuk tiga ADUN menyertai Program Gendong Bini dengan menunggang motosikal di Bandar Chiku, Felda Chiku 3, Gua Musang hari ini.

Oleh AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Program Gendong Bini atau membonceng isteri dengan motosikal sejauh 200 kilometer menjelajah tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) meriahkan sambutan Hari Malaysia di sini hari ini.

Seramai 30 pasangan suami isteri termasuk tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Gua Musang telah menyertai program berkenaan.

ADUN yang terlibat ialah ADUN Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim, ADUN Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff dan ADUN Paloh, Amran Arifin.

Hadir sama Pegawai Khas Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Lokman Ghani.

Mohd. Syahbuddin berkata, idea program itu dicetuskan bersama oleh ketiga-tiga ADUN bagi parlimen Gua Musang untuk menjelajah setiap kawasan dan bertemu rakyat.

Katanya, bertepatan dengan tema Malaysia Prihatin mereka ingin mengeratkan hubungan sambil memberi peluang kepada isteri untuk ronda menaiki motosikal menikmati tempat menarik di kawasan persinggahan.

“Sepanjang program ini, kita melalui Kampung Kundur, Kampung Lembaga, Kampung Tiong dan Bandar Lama di kawasan DUN Galas.

“Kemudiannya, kami terus ke Bandar Chiku 3 dan berakhir di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Lebir sebelum berpatah balik,” katanya.

Pelepasan program itu dilakukan Yang Dipertua Majlis Belia Jajahan Gua Musang, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani dengan kibaran Jalur Gemilang.

Sementara itu, Mohd. Lokman pula berkata, dia juga mengambil bahagian bersama dalam program itu untuk memeriahkan suasana bersama isterinya.

Katanya, meskipun kini bermastautin di ibu negara, dia sanggup ke Gua Musang dan tiba awal pagi ini bersama isteri.
“Sebelum ini kami tidak mempunyai masa untuk menunggang motosikal bersama isteri kerana kekangan tugas.

“Hari ini, kita dapat meluangkan masa bersama-sama dan beramah mesra dengan penduduk kampung di parlimen Gua Musang,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI