fbpx

19 kaki judi dicekup di ladang kelapa sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kaki judi yang ditahan datang dari sekitar Jenjarom di Kuala Langat ,Klang, Shah Alam dan Tanjong Malim di Perak.

KUALA LANGAT – Keghairahan 19 lelaki bermain judi taisai dan laga ayam pada cuti umum Hari Malaysia berakhir selepas diserbu pihak berkuasa dalam kejadian di kawasan ladang kelapa sawit di Sri Cheding, Banting di sini hari ini.

Dalam serbuan pukul 1. 15 tengah hari oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menahan kesemua suspek berusia 20 hingga 50an.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Zuhairee Mohamad Rashid berkata, siasatan awal mendapati ladang kelapa sawit tersebut telah menjadi markas perjudian sejak 3 bulan lalu.

Katanya, ia dianjurkan oleh seorang lelaki dari Sabah dan beroperasi setiap Sabtu serta Ahad serta cuti umum bermula pukul 11 pagi hingga 5 petang.

“Kaki judi yang terlibat datang dari sekitar Jenjarom di Kuala Langat ,Klang, Shah Alam dan Tanjong Malim di Perak.

“Nilai pertaruhan bagi laga ayam bermula RM1,000 hingga RM 6,000 manakala judi jenis Taisai serendah RM5 hingga RM100,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menambah, pihaknya turut merampas 22 ekor ayam hidup, ayam mati ( 2 ekor) , empat bilah pisau taji, tiga biji buah dadu serta satu masing-masing tikar pertaruhan judi taisai, mangkuk dadu dan alat penimbang selain wang tunai berjumlah RM 17, 735.

Ujar Zuhairee, kesemua suspek terdiri daripada 10 lelaki Sabah dan sembilan warga Indonesia telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1)(b) Akta Binatang 1953, Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 11(1) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan 2020,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI