fbpx

UniSZA hasil buku adab kanak-kanak guna teknologi AR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Hasrul (tengah) menunjukkan penggunaan teknologi AR dengan mengimbas buku My Shakhsiyyah dengan menggunakan telefon pintar di UniSZA di sini hari ini.

KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainai Abidin (UniSZA) menghasilkan buku My Shakhsiyyah AR yang disasar untuk mendidik golongan muda tentang adab dan akhlak secara interaktif.

Ketua Projek, Dr. Mohd. Hasrul Shuhari berkata, buku yang dihasilkan dengan kerjasama Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tersebut dilengkapi dengan teknologi Realiti Terimbuh (AR).

Beliau berkata, pengisian kandungan buku tersebut disesuaikan dengan karakter empat tokoh Islam terkenal iaitu Imam Al Ghazali, Imam Syafie, Ibu Sina dan Sultan Muhammad Al-Fateh yang memiliki adab dan akhlak terpuji.

“Teknologi AR membolehkan pembaca mengimbas setiap muka surat di dalam buku tersebut untuk melihat video, permainan interaktif, audio doa dan bacaan al-Quran serta kamus berkaitan adab dan akhlak.

“Ia akan dipaparkan secara automatik pada skrin telefon pintar masing-masing setelah imbasan dilakukan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Hasrul berkata, pemainan interaktif yang diinspirasi daripada Super Mario itu boleh dimainkan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris dan Arab.

Tambah beliau, kamus yang boleh diakses menerusi aplikasi AR berkenaan juga dilengkapi dengan teknologi pengesanan suara.

“Buku My Shakhsiyyah AR yang siap sepenuhnya Julai tahun lalu ini telah memenangi 10 anugerah termasuk Emas dalam pertandingan inovasi di seluruh negara termasuk terbaharu pada Mac lalu.

“Buku ini telah dipasarkan sebagai pengenalan di platform dagangan digital, Shopee dengan harga promosi RM40 senaskhah pada dua hari lalu dan sambutannya amat di luar jangkaan,” katanya.

Mohd. Hasrul berkata, berikutan sambutan hebat itu, pihak dengan kerjasama beberapa syarikat pencetakan bercadang untuk memasarkannya pada skala lebih besar pada masa terdekat.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima tempahan buku kanak-kanak itu daripada beberapa sekolah rendah Islam, maahad tahfiz dan pusat bimbingan al-Quran di seluruh negara. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI