fbpx
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Polis Shafien Mamat (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu yang dibungkus dalam bungkusan teh cina bernilai RM23.4 juta yang ditinggalkan dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kampung Cherang Melintang, Tumpat Sabtu lalu.

Syabu RM23.4 juta ditinggal dalam pacuan empat roda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT – Polis berjaya menemui dadah jenis syabu bernilai RM23.4 juta selepas mengejar sebuah kenderaan pacuan empat roda sejauh 10 kilometer sebelum ia ditinggalkan di Kampung Cherang Melintang di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, dadah seberat 584 kilogram itu ditemui berada di ruang simpanan barangan dan tempat duduk belakang kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubisihi itu.

Katanya, sebelum aksi mengejar itu, anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) melihat kenderaan itu berada dalam keadaan mencurigakan di sekitar kampung Teluk Jering pada pukul 6.15 petang sewaktu sedang mengadakan rutin rondaan.

Beliau berkata, susulan daripada itu, anggota Aksem bertindak mengejar kenderaan,namun terdapat sebuah lagi kereta jenis Proton Satria dipercayai tonto yang mengekori dan menghalang laluan kenderaan pihak berkuasa.

“Anggota Aksem terpaksa melepaskan satu tembakan amaran ke udara agar kedua-dua kenderaan itu berhenti. Bagaimanapun, mereka telah menyelinap masuk ke dalam kawasan hutan di Kampung Teluk Jering sebelum jejak mereka hilang selepas 10 kilometer melarikan diri.

“Kereta peronda polis (MPV) telah membuat rondaan di kawasan itu sebelum menemui kenderaan itu tersadai tanpa pemandu di dalam kawasan semak selepas mendapat maklumat daripada orang awam,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPD) Tumpat di sini hari ini.

Menurut Shafien, berdasarkan siasatan, polis tidak menolak kemungkinan kesemua dadah jenis syabu itu diseludup dari negara jiran untuk diedarkan di pasaran tempatan.

Katanya, pemeriksaan terhadap kenderaan pacuan empat roda itu juga mendapati pemiliknya berasal dari Perak.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan dadah ini mempunyai hubung kait dengan sindiket yang ditahan dalam rampasan dadah bernilai RM42 juta baru-baru ini, namun siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Dengan kejayaan rampasan dadah ini, ia menunjukkan keberkesanan pihak berkuasa negara ini dalam menangani kes-kes penyeludupan dadah di kawasan sempadan,” katanya.

Tambah Shafien, polis kini sedang menjejak pengedar dadah yang terlibat dalam kes itu dan berharap ada maklumat orang awam yang boleh membantu siasatan kes.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam. – K! ONLINE