fbpx

Seramai 132 ditahan ingkar PKPP semalam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Seramai 132 individu ditahan polis semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 14 individu direman manakala, 118 individu dikenakan kompaun.

Beliau berkata, antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (49 kes), gagal merekod butiran pelanggan (12),
ingkar perintah PKPD (30), gagal lunas bil kuarantin (2), private party atau ‘parti liar’ (12) dan tidak memakai pelitup muka (27).

“Pasukan pematuhan akan terus meningkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP yang ditetapkan.

“Kami akan meningkatkan pemeriksaan terutama bagi aktiviti parti liar dan aktiviti di pub atau kelab malam yang masih berada dalam senarai aktiviti terlarang,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Selain itu, katanya, seramai 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan dalam Operasi Benteng semalam selain merampas sebuah bot dan tiga buah kenderaan darat.

“Antara kejayaan Ops Benteng semalam termasuk penahanan 21 PATI di Pantai Teluk Penawar, Johor oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 14 operasi sanitasi awam dilaksanakan semalam meliputi tiga Zon Kuning dan 10 Zon Hijau di enam buah negeri iaitu Kedah (5), Sarawak (3), Pulau Pinang (2), Melaka (2), Sabah (1) dan Perak (1).

Bagi kuarantin wajib pula, Ismail berkata, seramai 29,054 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa bermula 24 Julai lalu hingga semalam.

“Daripada jumlah itu, seramai 10,414 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 75 hotel dan lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

“Manakala, 71 individu pula dibawa ke hospital untuk rawatan dan 18,569 individu telah di discaj dan dibenarkan pulang ke rumah,” katanya. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI