fbpx

Perak mohon RM300 juta naik taraf jeti Pulau Pangkor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin Yassin (kanan) dan Ahmad Faizal Azumu (kiri) mengaminkan doa ketika tiba di Lapangan Terbang Pangkor, Pulau Pangkor hari ini. Foto: ZULFACHRI ZULKIFLI.

Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN

LUMUT – Kerajaan Perak memohon peruntukan RM300 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi menaik taraf jeti penumpang dan kargo serta menambah lokasi zon pendaratan yang turut melibatkan jeti penduduk di Pulau Pangkor.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata ia bagi menampung pertambahan bilangan pelancong yang tinggi serta kemasukan barangan ke pulau itu sejak ia diisytiharkan pulau bebas cukai (PBC) sejak awal tahun ini.

Katanya, permohonan itu dikemukakan secara rasmi dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) ke-23 (PB23) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pulau Pangkor hari ini.

Ujarnya, sejak Januari hingga Ogos tahun ini, kemasukan pelancong ke Pulau Pangkor sudah nelebihi 500,000 orang dan pada 31 Ogos lalu, seramai 30,000 pelancong datang pada hari itu sahaja.

“Sebelum mesyuarat NCIA, saya bawa Perdana Menteri meninjau keadaan jeti penumpang di pulau ini dan beliau sedar pembesaran jeti ini amat diperlukan, tambahan pula Pangkor sudah jadi destinasi utama di Perak sejak jadi PBC.

“Setakat ini Kerajaan Persekutuan memberi maklum balas yang baik terhadap permohonan ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat berkenaan di pulau tersebut.

Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Ahmad Faizal berkata, penambahan lokasi zon pendaratan penting untuk mempermudahkan pergerakan penduduk tempatan, pekerja, peniaga serta barangan dan bukannya bersesak dengan pelancong di jeti yang sama.

Dalam mesyuarat itu juga, beliau mengulangi permohonan kepada Kerajaan Persekutuan untuk memberi kebenaran kepada pelancong di Pulau Pangkor membeli barangan bebas cukai dalam tempoh 24 jam mereka menginap di pulau itu berbanding 48 jam ketika ini.

Katanya, alasan diberikan ialah pulau tersebut tidak terlalu besar dan pelancong boleh melawat seluruh tempat pelancongan dalam tempoh 24 jam selain bilik penginapan yang masih belum banyak.

Ahmad Faizal yakin jika tempoh itu dikurangkan, lebih ramai pelancong akan berkunjung ke pulau tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI