fbpx

Penduduk pinggir bandar diseru tubuhkan koperasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Fattah (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan barang keperluan harian kepada salah seorang penduduk Kampung Makmur semasa program Coop Care hari ini.

GOMBAK – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyeru penduduk dan komuniti yang berada di pinggir bandar untuk menubuhkan koperasi bagi menggerakkan ekonomi setempat.

Presiden Angkasa Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, penubuhan koperasi komuniti boleh dibuat dengan perniagaan berasaskan peruncitan kerana mempunyai pelanggan sedia ada.

“Penduduk di kawasan itu juga adalah pengguna barang keperluan harian seperti beras, tepung, gula dan minyak.

“Daripada beli di tempat lain, lebih baik mereka (penduduk) beli daripada koperasi mereka sendiri, selain menjana peluang pekerjaan kepada penduduk,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan kepada 100 keluarga B40 di Kampung Makmur, dekat sini menerusi program Coop Care, di sini hari ini.

Mereka berdepan dengan masalah kekurangan bekalan makanan kerana hilang punca pendapatan akibat penularan wabak Covid-19.

Tambah Abdul Fattah, pihak Angkasa boleh menyediakan barang-barang keperluan harian bernilai RM10,000 kepada koperasi sebagai permulaan, dan ia hanya perlu dibayar semula selepas sebulan.

Pada masa yang sama, katanya koperasi juga boleh memanfaatkan kemahiran yang ada pada anggota komuniti seperti kemahiran membuat kuih, menggunting rambut, menyedia perkhidmatan tuisyen dan sebagainya untuk dijadikan perniagaan.

“Barangan yang disediakan koperasi bukan sahaja boleh dijual kepada anggota masyarakat sekeliling, malah boleh dijual kepada koperasi lain atau dieksport ke luar negara jika kualitinya memuaskan,” jelasnya.

Abdul Fattah berkata, prinsip koperasi tidak terhad kepada perniagaan semata-semata tetapi membabitkan unsur kebajikan.

“Kita memastikan ahli koperasi mendapat kesejahteraan, jadi kita ambil kira ahli koperasi yang mempunyai masalah untuk dibantu,” katanya.

Bagi komuniti yang bermajoriti Islam, mereka boleh memanfaatkan masjid atau surau sebagai pusat pengurusan koperasi.

“Penduduk pinggir bandar mungkin menghadapi kesulitan untuk menggunakan balai raya kerana premis itu banyak fungsi lain yang mungkin menganggu urusan koperasi, berbanding masjid yang hanya diurus oleh ahli-ahli jawatankuasa.

“Ia juga selaras dengan seruan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang mahu masjid menubuhkan koperasi,” jelas Abdul Fattah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI