fbpx
Lima suspek yang ditangkap dalam serbuan di Taman Ajil Perdana, Ajil, Hulu Terengganu direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengedar dadah.

Lima termasuk pasangan kekasih ditahan disyaki edar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh NOOR HAYATI MAMAT

HULU TERENGGANU – Sekumpulan lima individu termasuk pasangan kekasih yang baru berjinak-jinak mengedar dadah sejak sebulan lalu ditahan polis di Taman Ajil Perdana, Ajil di sini, Khamis lalu.

Kedua-dua mereka yang juga berstatus janda dan duda ditahan kira-kira pukul 6 petang  bersama tiga lagi rakannya termasuk dua wanita.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 32 hingga 43 tahun tersebut ditahan dalam serbuan dilakukan di dalam sebuah pondok di kawasan belukar berhampiran taman perumahan itu.

“Empat suspek termasuk janda anak tiga berkenaan ditahan di hadapan pondok manakala seorang lagi di belakang premis tersebut.

“Pemeriksaan berjaya menemui ketulan kristal seberat 64.3 gram dipercayai dadah jenis syabu, lapan botol mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin dan 764 biji pil dipercayai pil kuda,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Adli berkata, kesemua rampasan dadah tersebut dianggarkan bernilai RM23,800 selain sitaan sebuah motosikal yang disyaki digunakan untuk mengedar dadah.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kumpulan itu baru berjinak-jinak dalam aktiviti pengedaran dadah dalam tempoh kurang empat minggu lalu.

“Mereka menjadikan bangsal tersebut sebagai lokasi mengedar dan melepaskan gian menghisap dadah.

“Ujian air kencing atau urin terhadap janda berusia 32 tahun bersama kekasihnya berusia 43 tahun dan tiga rakan mereka positif dadah jenis heroin dan methapitamine,” katanya.

Tambahnya, kelima-lima suspek ditahan reman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE