fbpx

Lelaki miliki 120 isteri mahu kahwin lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PRASERT bersama isteri terbaharunya ketika ditemui pemberita di kediaman mereka baru-baru ini. – VA.VN

BANGKOK – Seorang hartawan mengejutkan orang ramai apabila dia dilaporkan mempunyai 120 isteri sekali gus melanggar undang-undang Thailand yang melarang amalan poligami, lapor akhbar Tribun News.

Kejadian tersebut dilaporkan di daerah Phromnee, bandar Nakorn Nayok, tengah Thailand.

Lelaki itu yang merupakan seorang ahli perniagaan, Tambon Prasert berkata, dia berkahwin seawal usia 17 tahun, manakala isteri pertamanya berusia 2 tahun lebih muda.

“Memang benar, saya mempunyai seramai 120 isteri dan 28 anak yang mana perkahwinan pertama saya adalah ketika berusia 17 tahun.

“Selepas berumah tangga, saya menikahi pula isteri yang lain dan kebanyakan mereka masih muda, berusia dalam lingkungan 20-an kerana saya tidak meminati wanita yang sudah berusia,” katanya pada sidang akhbar di rumahnya di Nakorn Nayok baru-baru ini.

Kata Prasert, selepas berkahwin, dia memulakan perniagaan syarikat pembinaan dan akan mengahwini seorang wanita di setiap tempat yang mempunyai projek perumahannya.

“Saya seorang kontraktor pembinaan dan setiap kali saya membina rumah di daerah ter­tentu, saya akan mengahwini seorang wanita di lokasi tersebut.

“Saya mencintai kesemua isteri dan tidak pernah menyembunyikan bahawa saya mempu­nyai ramai isteri serta merancang bernikah dengan lebih ramai lagi wanita,” jelasnya.

Selain itu, Prasert juga berkata, 22 isterinya tinggal di kawasan perumahan sama di daerah Phromnee, manakala yang lainnya menetap di negeri-negeri lain.

“Ketika saya memberitahu sudah berkahwin satu lagi, semua isteri bersetuju dan tidak ada yang mempersoalkannya.

“Mereka semua menerima keadaan itu serta tidak pernah bergaduh mengenainya dan ke­rana itu, saya menghormati mereka semua,” ujarnya.

Menurut Prasert, dia turut menyediakan sebuah rumah untuk setiap isterinya di samping menyediakan segala kelengkapan harian mereka.

“Jika mereka tidak mempunyai rumah sendiri, saya akan memberikan sebidang tanah dan membina sebuah rumah supaya mereka dapat tinggal dengan selesa,” katanya.

Lebih menarik semasa sesi wawancara itu isteri terbaharu Tambon, Nam Fon, 27, yang duduk di samping suaminya langsung tidak terkejut mende­ngar pendedahan suaminya.

Setakat ini, masih tidak jelas sama ada Tambon akan berdepan masalah dari segi undang-undang susulan pendedahan tersebut. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI