fbpx
GAMBAR fail bertarikh 26 April 2007 menunjukkan sampel nyamuk pembawa virus Nil Barat. - AFP

Korban wabak Nil Barat meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID, Sepanyol – Korban wabak demam Nil Barat di selatan Sepanyol meningkat kepada empat orang, kata pihak berkuasa kesihatan Andalusia kelmarin.

Seorang wanita berusia 87 tahun yang menghidap penyakit itu dan dimasukkan ke hopital di bandar Puerto Real dalam wilayah Cadiz, barat daya Sepanyol menjadi mangsa terbaharu wabak Nil Barat.

Tiga warga emas lain meninggal dunia akibat Nil Barat di wilayah Seville yang berjiran dengan Cadiz. Wabak itu bermula di Seville awal tahun ini di bandar Coria del Rio dan La Puebla del Rio.

Kedua-dua bandar itu terletak berdekatan hutan bakau Guadalquivir.

10 lagi pesakit dirawat hospital kerana menghidap penyakit itu di dua wilayah termasuk empat berada di unit rawatan rapi, demikian menurut pihak berkuasa.

Virus Nil Barat boleh mencetuskan simptom menyerupai selesema tetapi dalam kes ekstrem, ia boleh membawa kepada demam, koma dan pembengkakan tisu otak dan menyebabkan kematian.

Pertama kali ditemui di Uganda dalam tahun 1937, virus itu dibawa oleh burung dan disebarkan kepada manusia oleh nyamuk. Penyakit tersebut berlaku di Afrika, Asia, Eropah dan Australia.

Dalam pada itu, kerajaan wilayah Andalusia melakukan semburan racun serangga untuk membunuh nyamuk di beberapa kawasan paya bakau bagi merendahkan risiko jangkitan virus Nil Barat.

Kerajaan juga menggesa orang ramai memasang skrin nyamuk di kediaman masing-masing dan tidur dalam kelambu. – AFP