fbpx

Penduduk Orang Asli Pos Gob terputus hubungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tanaman pisang penduduk Orang Asli musnah dilanda banjir lumpur di Pos Gob, Gua Musang.

Oleh AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Kira-kira 500 penduduk Orang Asli di Pos Gob di sini terputus hubungan luar selepas berlaku kejadian banjir lumpur kelmarin.

Hujan lebat di kawasan itu turut menyebabkan kawasan penempatan dan tanaman rosak selain tiga buah jambatan runtuh.

Penghulu Pos Gob, Uda Alang, berkata, kejadian pada pukul 1 pagi itu menyebabkan semua penduduk kampung terpaksa menyelamatkan diri dengan mendaki bukit berhampiran.

Katanya, sehingga hari ini, terdapat penduduk belum pulang ke rumah kerana takut dengan kejadian itu.

“Bagaimanapun, kami bersyukur apabila tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku walaupun penduduk masih terkejut dengan kejadian terbabit.

“Terus terang, kami amat takut dan ini merupakan kejadian paling banjir lumpur terburuk yang melanda Pos Gob,” katanya kepada Kosmo! di sini tadi.

Seorang penduduk Orang Asli, Ali Gemuk, 47, pula berkata, dia terkejut apabila melihat paras air sungai yang naik mendadak.

Katanya, penduduk kampung juga mengalami kerugian teruk apabila berlaku kemusnahan tanaman termasuk pokok pisang dan pokok ubi kayu sebagai makanan harian mereka.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff ketika dihubungi berkata, pihaknya telah menerima maklumat daripada Orang Asli yang terlibat.

Katanya, ketika ini penduduk masih tidak dapat keluar ke bandar dan pihaknya akan menghulurkan bantuan makanan segera dalam masa terdekat ini. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI