fbpx

Pasangan kekasih antara lima ditahan ketika leka membungkus dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis merampas sebanyak 66 paket berisi dadah jenis syabu seberat 211.03 gram dan 0.85 gram ganja dianggarkan bernilai RM21,146 mengikut harga pasaran.

Oleh IVAN AMIRUL

KOTA KINABALU – Pasangan kekasih antara lima individu ditahan polis bandar raya ini ketika leka membungkus dadah dalam serbuan di sebuah kondominium di Telipok semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, serbuan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu kira-kira pukul 3 petang.

“Sewaktu serbuan, semua lima suspek termasuk seorang wanita berusia antara 22 sehingga 40 tahun itu sedang membungkus dadah tanpa menyedari kehadirin pihak polis.

“Wanita yang ditahan adalah kekasih kepada salah seorang suspek dan tidak mempunyai pekerjaan tetap,” katanya dalam sidang media di IPD Kota Kinabalu hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan polis merampas sebanyak 66 paket berisi dadah jenis syabu seberat 211.03 gram dan 0.85 gram ganja dianggarkan bernilai RM21,146 mengikut harga pasaran.

“Kita turut merampas beberapa barangan serta peralatan yang digunakan untuk membungkus dan menghisap dadah.

“Hasil siasatan mendapati rumah yang diserbu digunakan sebagai tempat untuk membungkus dadah. Pelanggan dipercayai akan datang ke rumah berkenaan untuk mendapatkan sendiri bekalan dadah selain menyediakan perkhidmatan untuk menagih dadah di rumah sama,” katanya.

Sementara itu, Habibi menyatakan kumpulan terbabit dikesan sebagai pengedar kecil-kecilan secara aktif di kawasan Inanam dan Manggatal sejak awal tahun lalu.

Semua yang ditahan berperanan sebagai pembungkus dengan mendapat upah sebanyak RM250 sehari.

Kelima-lima suspek kini direman selama seminggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI