fbpx

Pantai Puteri boleh ‘lenyap’ dari peta Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan hakisan di Pantai Puteri

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID

MELAKA – Isu hakisan laut di Pantai Puteri yang semakin ketara sejak tujuh bulan lalu dilihat tidak mustahil boleh mengakibatkan pantai pelancongan tumpuan ribuan pelancong itu ‘lenyap’ dari peta Malaysia.

Itu kebimbangan disuarakan lebih 300 masyarakat nelayan dan peniaga di pantai peranginan sepanjang 2.1 kilometer yang selama ini menjadi lubuk rezeki buat mereka sejak puluhan tahun yang lalu.

Ketua Nelayan Pantai Kundor dan Pantai Rombang di Pantai Puteri, Azmi Leman, 52, berkata, hakisan laut pantai berkenaan bermula sejak Februari lalu, namun semakin serius pada Julai lalu.

“Selain fenomena air pasang besar yang menyebabkan hakisan, faktor lain seperti isu penambakan laut dan kapal-kapal besar yang berlabuh di tengah pantai ini turut memberi kesan kepada pendapatan kami.

“Kalau dulu kami boleh dapat hasil tangkapan sehingga RM200 hingga RM300 sehari, sejak kebelakangan ini hendak dapat hasil jualan RM50 pun susah,” katanya kepada pemberita di sini tadi.

Tambahnya, mereka juga pernah pulang hampa kerana langsung tiada hasil tangkapan kesan daripada penambakan laut dan kapal berlabuh yang merosakkan kawasan hidupan laut.

Kesan sama dirasai peniaga makanan di pesisiran pantai terletak kira-kira 17 kilometer daripada pusat bandar itu sekaligus menjadi pantai pelancongan terdekat dengan pusat bandar Melaka.

Peniaga, Nur Hidayah Ab Latif, 31, berkata, pendapatannya turut terjejas sehingga 50 peratus apabila pantai berkenaan semakin kurang dikunjungi pelancong akibat hakisan tebing yang menumbangkan banyak pokok Rhu di situ.

“Sejak berniaga di sini dua tahun lalu, setiap hujung minggu kutipan jualan boleh cecah sehingga RM600 sehari tetapi merosot kepada hanya RM250 sejak beberapa bulan lalu.

“Pelancong dari luar memberi alasan takut untuk berkhemah di sini seperti dahulu kerana bimbang ditimpa pokok Rhu yang tumbang,” ujarnya. -K! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI