fbpx

Pasangan kekasih peras ugut dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kedua-dua suspek ditahan selepas memeras ugut seorang wanita menggunakan gambar serta video bogel mangsa.

PETALING JAYA – Tindakan sepasang kekasih memeras ugut seorang wanita menggunakan gambar dan video bersifat peribadi milik mangsa tidak berpanjangan selepas kedua-dua mereka ditahan polis pada 11 dan 12 September lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, pihaknya menerima aduan daripada mangsa, seorang wanita berusia 21 tahun pada 1 Jun lalu memaklumkan tentang kejadian.

“Menurut mangsa, pada 31 Mei lalu, dia menerima mesej daripada nombor telefon tidak dikenali yang meminta wang sebanyak RM1,000 sekiranya tidak mahu gambar dan video bogel miliknya disebarkan.

“Siasatan awal mendapati mangsa pernah berkongsi gambar dan video bersifat peribadi itu kepada bekas teman lelakinya berusia 22 tahun pada Mac lalu namun mereka sudah lama tidak berhubung dan lelaki itu turut mendakwa telah kehilangan telefon bimbitnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nik Ezanee, mangsa kemudiannya memaklumkan telah berjumpa dengan rakan kepada bekas teman lelakinya pada April lalu dan telah memberikan wang sebanyak RM300 kepada lelaki itu dengan harapan gambar dan video miliknya dipadamkan.

“Bagaimanapun suspek masih meminta wang daripada mangsa dan wanita itu kemudiannya telah memindahkan lagi wang sebanyak RM400 ke dalam sebuah akaun bank yang diberikan kepadanya.

“Susulan maklumat yang diperolehi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Petaling Jaya telah menahan pemilik akaun berkenaan iaitu seorang wanita berusia 23 tahun yang juga merupakan tunang kepada suspek di sebuah premis perniagaan di Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 11 September lalu,” ujarnya.

Tambah Nik Ezanee, soal siasat yang dilakukan telah membawa kepada penahanan suspek di tepi jalan di Sea Park di sini kira-kira pukul 11.30 malam keesokan harinya dan lelaki berkenaan turut mengaku telah melakukan pemerasan ke atas mangsa.

“Semakan mendapati suspek wanita tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala tunangnya pula mempunyai dua rekod kesalahan penyalahgunaan dadah di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya.

“Suspek wanita direman tiga hari sehingga esok manakala suspek lelaki pula akan dibawa ke hadapan majistret untuk permohonan reman bagi meneruskan siasatan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan,” tegas beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI