fbpx

MHC berdukacita nasib menimpa Firhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FIRHAN akan menggalas peranan sebagai penyerang skuad Terengganu menghadapi saingan Piala Tun Abdul Razak yang akan bermula Jumaat ini. - FB ARENA HOKI MALAYSIA

KUALA LUMPUR – Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengalungkan ucapan takziah kepada penyerang skuad hoki kebangsaan, Muhammad Firhan Ashari selepas kehilangan anaknya, Nur Ayra Delisha, 2, yang sudah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang petang tadi.

Barisan kepimpinan tertinggi badan induk itu diketuai Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal dan Timbalan Presiden MHC, Prof. Datuk Dr. S. Shamala turut berkesempatan menziarahi keluarga Firhan di kediaman mertuanya di Kampung Baru di sini pagi tadi.

“Ini satu berita sedih buat Firhan kerana dia ayah yang muda. Memang satu kehilangan yang besar untuk sesiapa sahaja apabila kehilangan anak.

“Kami turut berasa sedih dan bersimpati dengan apa yang menimpa keluarga Firhan. Kehadiran MHC untuk memberi sokongan kepada Firhan dan keluarganya,” kata Shamala ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan MHC, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Mirnawan Nawawi; Ketua Pegawai Eksekutif MHC, Norfaraha Hashim dan Pegawai Majlis Sukan Negara, Rabiatul Adawiyah Mohamed.

Sementara itu, Firhan, 27, memuat naik kenyataan di laman sosial Facebook miliknya dengan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan kepadanya dalam menghadapi ujian berat ini.

Sebagai rekod, Firhan yang kini sembuh sepenuhnya daripada kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) dialami tahun lalu, akan beraksi bersama Terengganu pada saingan Piala Tun Abdul Razak bermula Jumaat ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI