fbpx
Sebahagian warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia selepas lari bertempiaran ketika diserbu di sebuah kedai makan dan pusat hiburan di Jalan Russel, Ipoh semalam.

GRO bertempiaran lari elak dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh ASLIZA MUSA

IPOH – Keasyikan wanita warga asing melayan pengunjung berhibur bertukar kecoh apabila mereka bertempiaran lari mengelak daripada dicekup dalam serbuan di sebuah kedai makan dan pusat hiburan di Jalan Russel di sini semalam.

Mereka yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) itu terdiri daripada 19 wanita warga China selain dua lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 28 hingga 50 tahun.

Pengarah Imigresen Perak, Kamalludin Ismail berkata, serbuan selama dua jam bermula pukul 7 malam ke atas dua premis itu dijalankan atas risikan dan maklumat awam kerana disyaki menggaji pekerja warga asing tanpa pas yang sah.

Katanya, semasa serbuan dijalankan, beberapa warga asing yang menyedari kehadiran pihak berkuasa cuba melarikan diri keluar dari premis berkenaan.

“Terdapat juga warga asing yang sanggup menggadai nyawa dengan berlari ke arah jalan besar yang ketika itu sibuk dengan kenderaan.

“Bagaimanapun, cubaan melarikan diri itu gagal dengan ketangkasan pegawai yang akhirnya berjaya memberkas mereka,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini

Menurut Kamalludin, siasatan mendapati modus operandi yang digunakan kedai makan berkenaan adalah dengan menyediakan perkhidmatan gadis peneman atau GRO kepada pelanggan.

Katanya, pelanggan akan diberi layanan manja sebelum dibawa ke pangsapuri yang terletak di belakang premis berkenaan.

“Kedai makan ini beroperasi setiap hari tetapi menjalankan perkhidmatan GRO pada hari Sabtu dan Ahad di sebelah malam sahaja. Bayaran kepada GRO ini bergantung kepada tips yang diberikan pelanggan.

“Siasatan awal mendapati kesemua mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah dan tinggal lebih masa,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya akan meneruskan pemantauan dan operasi secara berterusan. Orang ramai diminta menyalurkan maklumat agar tindakan sewajarnya dapat diambil. – K! ONLINE.

BERITA BERKAITAN