fbpx

Pengikut Instagram jadi kayu ukur artis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NUR EMIRA SAIZALI, WARTAWAN EKSEKUTIF

Suatu ketika dahulu, tidak pernah sekali pun wujud isu pelakon tidak diambil berlakon dalam mana-mana drama atau filem hanya kerana kurang pengikut Instagram.

Namun, baru-baru ini kecoh apabila pelakon, Amerul Affendi atau nama sebenarnya, Mohd. Amerul Affendi Mohd. Mawardi disingkirkan oleh sebuah ste­sen televisyen gara-gara jumlah pengikut Instagramnya sedikit.

Ramai yang memberi kata-kata semangat dan disebabkan itu, jumlah pengikut Instagramnya naik mendadak.

Bagi sesetengah individu pasti menganggap isu itu hanya picisan tetapi bagi sesetengah artis, ia diibaratkan seperti menutup periuk nasi.

Malah, jika pertama kali mendengar isu ini, kedengaran sedikit kelakar kerana pasti ada yang mempersoalkan apakah kaitan jumlah pengikut dengan tawaran berlakon.

Rentetan daripada isu tular itu, pelbagai andaian dilemparkan kepada stesen televisyen.

Ada yang menyifatkan terdapat sikap pilih kasih semata-mata hendak mengaut untung.

Namun, jika diperhatikan trend pada hari ini, jumlah pengikut itu diibaratkan punca pendapatan seseorang selebriti.

Bahkan pada hari ini, ada yang mendedahkan bahawa kadar bayaran juga bergantung kepada jumlah pengikut mereka.

Situasi itu jelas seperti mereka dianaktirikan oleh bidang pekerjaan mereka sendiri.

Netizen turut berpendapat bahawa kebanyakan drama pada hari ini dibintangi oleh pelakon baharu yang ‘kayu’.

Bagaimanapun, sedarkah anda bahawa pelakon kayu itu mempunyai lebih 500,000 jumlah pengikut Instagram?

Hal itu secara tidak langsung dapat membantu mempromosikan drama lakonan mereka.

Perkara ini tidak mengejutkan sebenarnya kerana dunia pe­nyiaran pada hari ini berada di zaman rating, populariti dan duit.

Realitinya, itulah cabaran yang perlu dihadapi oleh seorang pelakon masa kini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Khairul Anwar Salleh, dunia penyiaran sekarang berada dalam ‘permainan rating’.

“Dalam mengejar rating, kita memerlukan pelakon yang mempunyai ‘sedikit sebanyak’ pengikut dalam media sosial.

“Saya juga menggalakkan semua pihak untuk faham situa­si baharu dunia penyiaran pada hari ini,” katanya.

Tambah beliau, secara rawak, isu artis disingkirkan dari senarai sesebuah produksi mungkin bukan disebabkan satu faktor sahaja.

“Mungkin dia tersingkir bukan sebab jumlah pengikut tetapi ada kebarangkalian lain seperti karakternya tidak sesuai.

“Selain itu, mereka harus percaya pada rezeki dan perlu mempelajari serta berusaha bagaimana untuk memasarkan diri sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, pelakon Nafiz Muaz menganggap isu artis berbakat besar disingkirkan kerana jumlah pengikut Instagram ialah nilai yang perlu dibayar.

“Walaupun berbakat besar tetapi tiada peminat yang ramai, tetap tiada guna.

“Kecewa tapi inilah realiti yang perlu dihadapi oleh kami sebagai pelakon,” katanya.

Tambah Nafiz, dia juga tidak terlepas daripada terkena tempias daripada perkara tersebut.

“Kerja kami hanyalah sebagai pelakon, bukannya dalam bidang pemasaran.

“Jadi, jika artis itu kurang jumlah pengikut, bahagian pemasaran perlu main peranan, ku­kuhkan bahagian promosi. Jangan terlalu bergantung harap dengan populariti artis semata-mata,” ujarnya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI