fbpx

Malaysia pertimbang sertai Piala Thomas, Uber di Denmark

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Reezal Merican

MALAYSIA masih meneliti penyertaan atlet badminton negara pada saingan Piala Thomas dan Uber yang akan berlangsung di Aarhus, Denmark Oktober depan di sebalik kebimbangan penula­ran pandemik Covid-19.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selaku badan induk akan sentiasa berhubung dengan kementerian dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai perkembangan mutakhir.

“Ada satu atau dua negara mungkin akan buat keputusan (mengenai penyertaan) esok antaranya Indonesia.

“Saya difahamkan jika ada satu atau dua negara daripada top 4 (empat teratas) yang menarik diri, maka mungkin (kejohanan) akan ditangguhkan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Felo Korporat 2020 di Putrajaya semalam.

Reezal Merican berkata demikian ketika ditanya mengenai pendirian Malaysia terhadap penyertaan pada saingan Piala Thomas dan Uber selepas beberapa negara mengambil keputusan menarik diri daripada kejohanan tersebut berikutan kebimbangan penularan Covid-19.

Reezal Merican berkata, BAM telah bertemu dengan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam bagi mengemukakan cadangan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diambil negara tuan rumah.

“Walaupun Denmark negara hijau tetapi soal logistik, pemindahan dari lapangan terbang ke hotel perlu diambil kira.

“Hotel juga mesti hijau, kalau hotel diduduki mereka yang datang dari negara-negara merah, ini perlu diambil kira,” katanya.

Sebelum ini, Thailand menjadi negara terbaharu menarik diri daripada beraksi pada kejohanan itu selepas Taiwan dan Australia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI