fbpx

Warga emas diselamatkan anak saudara dalam rumah terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba sedang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran yang memusnahkan tiga rumah di Kampung Losong Haji Awang di Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Seorang wanita warga emas yang terperangkap di dalam rumah yang terbakar bernasib baik apabila diselamatkan anak saudaranya di Kampung Losong Haji Awang di sini hari ini.

Sulong Abu Bakar, 68, yang tinggal bersendirian sewaktu kejadian yang memusnahkan tiga rumah pada pukul 7.30 pagi itu diselamatkan anak saudaranya, Nur Athirah Rabi, 22, yang tinggal berhadapan rumahnya.

Nur Athirah berkata, dia tidak berfikir panjang berlari menyelamatkan ibu saudaranya sebaik melihat kepulan asap kebakaran dari rumah sebelah Sulong yang juga milik bapa saudaranya, Shafie Sulung, 74.

“Saya risau perkara tidak baik terjadi kepada ibu saudara saya yang sedikit uzur lagi pun dia tinggal berseorangan setelah anak dan keluarganya pergi bercuti ke Cameron Highlands, Pahang malam tadi.

“Tidak sampai lima minit selepas saya memimpin ibu saudara saya itu keluar dari rumah, kebakaran semakin marak dan memusnahkan bahagian atas rumahnya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Sementara itu, Shafie berkata, dia terkejut apabila anak bongsunya, Muhammad Zaki, 28, berlari ke kedai kopinya yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya untuk memaklumkan kebakaran itu.

“Dia berlari memaklumkan rumah sedang terbakar. Semua barangan berharga dan peribadi gagal diselamatkan termasuk dua motosikal Honda EX5 dan wang tunai RM20,000 yang dikumpul sejak 10 tahun berniaga,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI