fbpx

Wang RM2 juta bukan untuk Ku Nan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Adnan hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah RM 2 juta di sini hari ini. - Foto AMIR KHALID

KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan dalam pertuduhan kes rasuah bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa wang yang diterima Tengku Adnan RM2 juta bukan kegunaan untuk diri sendiri.

Peguam Datuk Tan Hock Chuan berkata sebaliknya kesemua wang yang diterima anak guamnya yang dikenali sebagai Ku Nan itu adalah  sumbangan atau dana politik termasuk untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada tahun 2016.

“Perkara itu diakui sendiri daripada saksi pendakwaan 19 dan 23 yang masing-masing merupakan Pengarah Urusan Aset Kayamas Sdn Bhd (Aset Kayamas), Tan Sri Chai Kin Kong dan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhamad Saad Bordani,” katanya pada hujahan akhir bela diri kes rasuah itu dihadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Menurutnya kenyataan itu dibuktikan melalui perbicaraan lalu apabila Kin Kong sendiri bersetuju bahawa sumbangan wang RM2 juta itu adalah untuk dua PRK dan bukan kegunaan Tengku Adnan selain Muhamad Saad turut mengakui dan bersetuju dengan perkara sama.

Dalam prosiding itu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim dan hujahan bersambung lagi 18 September ini.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan, 69, didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Kin Kong, yang juga ahli perniagaan.

Wang itu diterima melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn. Bhd. (THSB) yang mana beliau mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Bendahari UMNO itu melakukan perbuatan tersebut di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.  -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI