fbpx

Geng Wan’ tumpas!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh ALICIA JOHNY KUEH

PADAWAN – Sindiket curi motosikal ‘Geng Wan’ akhirnya tumpas dengan penangkapan seorang lelaki yang dipercayai merupakan dalang kepada kumpulan tersebut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata, penangkapan suspek berusia 35 tahun itu telah dibuat oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan di kawasan Kampung Bukit Berangan, Kota Samarahan sekitar pukul 12.45 tengahari, Khamis lalu.

Suspek telah ditahan berikutan laporan kes kehilangan motosikal di kawasan Kuching Town Land District, Jalan Matang, Kuching pada satu Julai lepas.

“Suspek akan dituduh dibawah seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu jenayah mencuri kenderaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek juga mempunyai rekod lampau kesalahan dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim memberitahu bahawa suspek merupakan ‘mastermind’ kepada ahli sindiket curi motosikal ‘Geng Wan’ yang aktif di sekitar kawasan Padawan dan Kota Samarahan.

“Geng Wan adalah terdiri daripada lima orang ahli kumpulan. Tiga daripadanya telah ditangkap oleh pihak Bahagian Risikan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak sebelum ini dan masih dalam status siasatan manakala seorang lagi rakan sejenayah masih bebas.

“Berdasarkan soal siasat yang dijalankan, kesemua suspek mengaku telah mencuri sebanyak 12 buah kenderaan,” ujarnya.

Lim juga menjelaskan bahawa suspek mengaku telah menjual sebanyak 10 buah motosikal curi kepada seorang lelaki warga Indonesia.

“Sebuah motosikal dijual dengan harga antara RM350 hingga RM500 berdasarkan jenis motosikal,” katanya lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI