fbpx

Tokan dadah dicekup selepas bergelut 15 minit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota AADK bersama 18 peket ganja yang dirampas dari seorang tokan di Felda Sungai Buaya malam tadi

MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

SHAH ALAM – Seorang tokan dadah nekad bergelut dengan beberapa anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Hulu Selangor selama 15 minit sebelum menyerah diri dalam kejadian di sebuah rumah di Felda Sungai Buaya, Hulu Selangor malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira pukul 11.50 malam itu, suspek berusia 26 tahun diberkas bersama 18 peket lutsinar disyaki ganja seberat 157.06 gram.

Timbalan Pengarah Penguat kuasa AADK Selangor, Mohd. Firdaus Abu Bakar berkata, tangkapan itu hasil risikan pihaknya selama tiga minggu terhadap kegiatan suspek.

Katanya, semasa serbuan didapati suspek sedang berehat sendirian di dalam biliknya sebelum cuba melarikan diri.

“Anggota AADK kemudiannya terpaksa bergelut selama 15 minit selepas suspek bertindak agresif untuk melepaskan diri daripada ditangkap.

“Soal siasat mendapati suspek mengaku menjual ganja itu sekitar Sungai Buaya, Bukit Sentosa dan Serendah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Jelas beliau, pihaknya kemudiannya menyerahkan suspek kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Firdaus memberitahu dalam operasi bermula pukul 10 malam hingga 2 pagi turut menahan tiga penagih dadah berusia 23 hingga 26 tahun di lokasi berasingan di sekitar Batang Kali dan Bukit Beruntung.

Ujar beliau, ujian air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah metamfetamin manakala seorang lagi positif ganja.

“Mereka kini disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 1998),” tegasnya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI