fbpx
Rumah mangsa digeledah hampir 40 minit oleh empat lelaki bersenjatakan parang dan rod besi

Rumah bekas pekerja pengurup wang dirompak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seorang eksekutif pemasaran kerugian lebih RM70,000 selepas kediamannya dimasuki empat perompak bersenjata di Taman Mastiara Off Jalan Ipoh awal pagi tadi.

Keempat-empat lelaki bersenjatakan parang dan rod besi itu memasuki rumah teres dua tingkat terbabit pada pukul 4 pagi sebelum bertindak mengugut akan mencederakan isteri dan anak mangsa sekiranya jerit bagi meminta bantuan.

Difahamkan, bimbang lima orang anak serta isteri dicederakan mangsa berusia 35 tahun itu akur dengan arahan empat suspek, namun dia dipukul pada kaki dan kepala mengguna rod besi supaya tidak bangun dan melawan.

Kesemua lelaki yang memakai pelitup muka itu menggeledah rumah mangsa sebelum melarikan wang tunai, mata wang asing, barang kemas, televisyen yang dianggarkan bernilai lebih RM70,000.

Selepas 40 minit menggeledah rumah tersebut, kesemua suspek melarikan diri melalui tingkap yang digumpil sebelum salah seorang daripadanya memberitahu mereka tahu mangsa merupakan pemilik pengurup wang berlesen.

Menurut jiran mangsa, Sirajuddin Mohd. Sultan, dia mengetahui kejadian selepas mendapat panggilan daripada isteri mangsa pada pukul 5.05 pagi.

“Saya bergegas ke rumah mereka dan sebaik masuk saya lihat semua barang dalam rumah itu berselerak selain lima kanak-kanak berusia lingkungan dua hingga 10 tahun itu menangis dan berada dalam keadaan trauma.

“Kami menghubungi pihak polis bagi memaklumkan kejadian manakala mangsa pula dihantar ke hospital keran tidak mampu bangun susulan kaki kanannya dipukul menggunakan besi,” katanya kepada Kosmo! hari ini. – K! ONLINE