fbpx

Renungi hikmah di sebalik musibah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
ADHAM SHADAN, PENOLONG PENGARANG BERITA

Tahukah anda apakah carian tertinggi Google oleh rakyat Malaysia bagi bulan lalu? Mungkin tidak ramai tahu jawapannya ialah ‘doa akhir tahun dan awal tahun’.

Saat mengetahui senarai carian tertinggi Google itu menerusi e-mel baru-baru ini, penulis berasa takjub.

Manakan tidak, secara logiknya, carian seperti itu dibuat pada satu hari sahaja.

Namun, ia berjaya mengungguli di kedudukan No.1 carian rakyat Malaysia bagi sepanjang bulan Ogos mengatasi hal-hal teknologi, hiburan dan sukan yang dirasakan sudah cukup popular seperti carian ‘OnePLus Nord’, ‘7 Hari Mencintaiku’ atau ‘Barcelona vs Bayern’.

Ini bermakna, pastinya carian doa akhir tahun dan awal tahun pada Ogos lalu begitu besar.

Sangsi jika itu hal normal setiap kali Awal Muharam, penulis bertindak mengirim e-mel kepada Google bertanyakan keputusan carian tertinggi pada bulan Ogos dan September tahun lalu apabila Awal Muharam jatuh pada 1 September 2019.

Mengejutkan apabila carian itu langsung tidak tersenarai dalam 10 carian tertinggi bagi kedua-dua bulan tersebut.

Penulis percaya ini satu mesej yang kuat bagaimana dalam dunia mengharungi musibah Covid-19 sebenarnya tersimpan hikmah yang indah.

Kala dunia bergelut dengan pelbagai kesulitan dan penderitaan akibat pandemik ini, ramai manusia kembali kepada fitrah seorang hamba yakni kembali kepada Allah.

Kala mendepani masa depan yang kabur, kesakitan wabak, kesempitan hidup atau jatuh terjelepuk setelah hilang punca pendapatan, manusia sedar daripada kealpaan dan mula mendekati Tuhan.

Tidak mustahil jika hari ini ada yang bersyukur kepada pandemik ini kerana membuatkan mereka mula menyedari nikmat mendampingi Tuhan.

Mungkin hal ini tidak terlihat di masjid-masjid kala penjarakan fizikal dipraktikkan, tetapi di malam hari, siapa tahu mungkin ramai yang berteleku di tikar sejadah terus memohon dan merayu agar segala susah dipermudah dan segala kebuntuan bertemu jalan.

Tidak kurang juga yang mungkin bersyukur apabila akhirnya mereka berjaya menyelongkar potensi diri yang tidak pernah diketahui. Hari ini ada orang yang bergelar usahawan atau peniaga berjaya setelah mendepani segala keperitan ini.

Tuhan tidak akan sesekali membiarkan manusia ke belakang melainkan untuk ke depan. Tuhan mengembalikan manusia kepada fitrah demi menuju al-falah (kejayaan).

Kita tidak tahu percaturan Tuhan. Barang kali Tuhan jadikan musibah ini untuk mengubah dunia ini ke arah lebih baik yang tiada siapa mampu jangkakan.

Pandemik ini memang satu ujian buat kita tetapi tidakkah kita sedari ia juga mungkin menjadi titik tolak kepada pecutan dunia menuju Revolusi 4.0.

Kerana desakan pandemik inilah teknologi digital dan online secara mendadak mengubah gaya hidup manusia di seluruh dunia terutamanya di negara mundur dan membangun.

Apa yang cuma perlu kita lakukan ialah ikuti landasannya. Jaga kebersihan, kesihatan dan patuhi langkah pencegahan Covid-19 dan kita akan bersama-sama keluar daripada musibah ini dengan kejayaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN