fbpx

Penduduk dakwa harimau kumbang punca kematian 14 kambing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kesan tapak kaki yang dipercayai menyerupai kaki harimau kumbang ditemui di sekitar kebun getah di Tok Uban.

Oleh YATIMIN ABDULLAH

PASIR MAS – Kebanyakan penoreh getah di Kampung Tok Uban di sini mendakwa 14 ekor kambing peliharaan Salma Mat Daud, 60, yang mati dengan kesan gigitan pada leher Isnin lalu disebabkan oleh serangan harimau kumbang.

Lebih meyakinkan mereka apabila ada penoreh getah menemui beberapa kesan tapak kaki dipercayai serupa dengan kaki harimau dan bukan anjing liar di kawasan kebun berhampiran rumah Salma.

Selepas berita kematian kambing itu tersebar di kampung, penoreh getah dibelenggu rasa takut untuk keluar mencari rezeki pada awal pagi.

Seorang penoreh Abdullah Musa, 30, berkata, dia sudah tidak berani untuk keluar menoreh secara berseorangan selepas melihat sendiri kesan tapak yang menyerupai kaki harimau.

Menurutnya, kesan tapak kaki yang dilihatnya itu dianggarkan sebesar saiz tapak tangan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

“Biasanya saya akan keluar menoreh seawal pukul 2 pagi.

“Bagaimanapun, sejak melihat tapak kaki itu, saya membuat keputusan untuk menoreh bermula pukul 6 pagi,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Mesa di sini hari ini.

Tambahnya, selepas kejadian itu, dia biasa mendengar bunyi pelik sewaktu sedang menoreh getah dan sering bersiap sedia untuk menyelamatkan diri.

Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, seorang penternak mendakwa mengalami kerugian hampir RM10,000 selepas 14 ekor kambing peliharaannya mati diserang haiwan misteri Isnin lalu.

Salma yang merupakan penternak kambing itu melihat kambingnya mati dalam keadaan bergelimpangan dengan terdapat kesan gigitan pada leher haiwan ternakannya.

Sementara itu, Abdullah turut memberitahu, disebabkan masalah itu dia terpaksa mengecilkan kawasan untuk menoreh di kebun getah kerana bimbang berdepan ancaman haiwan tersebut.

Katanya, sebelum ini, dia akan menoreh di sekitar 3.6 hektar kebun getah, namun terpaksa mengehadkan kepada 1.6 hektar kebuh getah sahaja.

Seorang lagi penoreh getah, Idris Yaakub, 35, mendakwa pendapatan dia dan rakan-rakan terjejas sejak kawasan kampung itu diancam oleh haiwam dipercayai harimau kumbang itu.

Katanya, dia berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah ini.

“Saya akui ada beberapa penduduk mendakwa pernah mendengar ngauman haiwan tersebut sebelum ini,” ujarnya.

Usaha Kosmo! untuk mendapatkan penjelasan dari Jabatan Perlindungan, Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan gagal apabila panggilan tidak dijawab. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI