fbpx

Dana RM5 juta untuk bantu vendor, pembekal Hotel Seri Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Rangkaian Hotel Seri Malaysia (RHSM) bakal membantu rakan vendor dan para pembekalnya yang terjejas ekoran pandemik Covid-19 dengan kemudahan pembiayaan sebanyak RM5 juta.
Dana pinjaman itu diperoleh daripada pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara RHSM dengan syarikat kewangan digital, Orpheus Capital Sdn. Bhd. (OC).
Pengarah Eksekutif OC, Muhammad Hamudi A. Khalid berkata, pihaknya menyediakan dana berjumlah RM5 juta untuk tujuan tersebut, yang akan ditambah dari masa ke semasa sekiranya ada keperluan.


“Peruntukan tersebut bertujuan untuk membantu pembekal dan vendor RHSM, yang kebanyakannya merupakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengharungi cabaran ekonomi semasa dan berdepan situasi pandemik Covid-19.
“OC membawa mandat untuk menyokong perniagaan kecil dan bermanfaat dengan menyediakan pembiayaan yang patuh syariah, selamat, mudah dan pantas pada kadar keuntungan berpatutan.
“Kami memberikan alternatif kepada kemudahan perbankan tradisional, oleh itu, PKS dan peniaga tidak perlu pergi ke saluran yang tidak sepatutnya, seperti pinjaman tidak berlesen terutamanya dalam suasana ekonomi sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU yang diadakan di ibu pejabat RHSM di Bangsar semalam.
Turut hadir Pengerusi RHSM, Badrul Hassan dan Pengerusi OC, Datuk Pengiran Daud.
Muhammad Hamudi menerangkan, pihaknya mempunyai peruntukkan dana berjumlah lebih RM40 juta untuk membantu PKS dan syarikat swasta lain yang sukar mendapatkan kemudahan pembiayaan daripada pihak bank selain mereka yang memerlukan suntikan aliran tunai pada kadar segera.
Sementara itu, Badrul menjelaskan, perkhidmatan yang ditawarkan OC tiba tepat pada masanya memandangkan banyak rakan vendor RHSM yang masih bergelut dengan impak daripada pandemik Covid-19.
“Kami memiliki 21 buah hotel di seluruh negara, yang mana setiap cawangan mempunyai sehingga 50 vendor.
“Bantuan kewangan seperti ini mampu menyelesaikan isu aliran tunai yang kerap menghantui PKS tempatan supaya mereka dapat memfokuskan kepada perniagaan mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI