KANGAR – Seorang lelaki warga emas maut selepas disengat tebuan tanah di trek mendaki Bukit Ayer di sini semalam.
Mangsa, Kang Ah Leck, 66, yang merupakan pemilik sebuah restoran dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang itu, mangsa bersama isteri, Kok Chooi Lung, 62, dan empat lagi rakan secara tiba-tiba diserang sekumpulan tebuan tanah ketika sedang menuruni trek di bukit tersebut.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, mangsa dan isteri serta empat lagi rakan mereka melakukan aktiviti mendaki di Bukit Ayer.
“Semasa dalam perjalanan turun, mangsa serta isteri dan dua rakan telah disengat tebuan tanah.
“Rakan-rakan lain kemudian membawa empat mangsa itu ke Bahagian Kecemasan HTF sebelum Dr. Norhayati Mansor mengesahkan salah seorang mangsa telah meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital,” katanya hari ini.
Kata beliau, kesemua mangsa yang disengat tebuan mengalami bengkak-bengkak pada anggota badan dan mereka mendapatkan rawatan di hospital sama.
Tambahnya, pemeriksaan yang dilakukan ke atas mayat mangsa menemui kesan sengatan pada tangan kanan dan kedua-dua belah paha.
“Tiada sebarang kecederaan atau kesan lain pada mangsa yang boleh dikaitkan dengan perbuatan jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.-K! ONLINE