Oleh AIMUNI TUAN LAH
GUA MUSANG – Penduduk yang sedang nyenyak tidur di Simpang Jalan Aring di sini dikejutkan dengan dentuman kuat akibat treler balak terbalik di hadapan rumah kedai di sini semalam.
Kebanyakan penduduk yang terjaga meninjau keadaan dan mendapati 40 kayu balak bergelimpangan di atas jalan raya dan sebahagian masuk ke dalam kedai makan dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 43 Jalan Gua Musang-Kuala Krai itu.
Bagaimanapun, tiada kecederaan penduduk dilaporkan.
Pemandu lori satu tan, Sivananthan A. Suppan, 50, cedera parah apabila putus empat jari dan patah kaki kanan, manakala, kelindannya Loshendar Raj Sivananthan, 19, luka di kepala.
Pemandu lori balak, Rosli Ab. Rahman 51, dan pemandu kereta Perodua Myvi, Muhammad Syairazi Mohd Yussof, 28, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, kejadian itu berlaku ketika lori yang dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.
Katanya, setibanya di lokasi pemandu lori terbabit dipercayai mengantuk sebelum hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.
“Lori terbabit bergesel dengan treler sarat muatan balak sehingga lori balak terbalik dan kayu balak berselerak atas jalan.
“Sebuah kereta Perodua Myvi yang datang dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai tidak sempat mengelak dan merempuh kayu balak berkenaan,” katanya.
Tambahnya, dua mangsa yang cedera dalam kejadian itu dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk rawatan.
Kawasan kejadian itu turut mengalami kesesakan apabila berpuluh kayu balak melintang jalan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE














