fbpx
MODEL motosikal 2020 bagi Ducati secara umumnya menawarkan penunggangan yang lebih selesa.

Ducati Panigale V4, V2 dan Scrambler Icon Dark ke pasaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIGA buah jentera serba baharu Ducati dilancarkan oleh pengedar rasmi jenama berkenaan di Malaysia, Next Bike Sdn. Bhd. di Ducati Flagship Showroom, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Acara pelancaran jentera yang dinamakan Ducati Trio itu menjadi titik pengenalan bagi model tahun 2020 Ducati iaitu Ducati Panigale V4, Ducati Panigale V2 dan Scrambler Icon Dark kepada peminat motosikal tempatan.

Bagi anda yang tertanya-tanya, barisan model Ducati Panigale ialah motosikal berkuasa tinggi yang paling laris dijual selama dua tahun berturut-turut di peringkat global.

Lebih 8,000 unit telah dijual di seluruh dunia, menjadikannya pendahulu bagi pasaran global iaitu kira-kira 25 peratus.

Ducati Panigale V4 model 2020 didatangkan dengan ciri-ciri baharu, menjadikannya lebih mesra pengguna.

Bahkan, penunggangannya kini kurang meletihkan dan motosikal itu lebih laju baik bagi pecutan pusingan mahupun sesi masa keseluruhan.

Kerangka utama hadapan Ducati Panigale V4 direka mengikut spesifikasi divisyen perlumbaan Ducati iaitu Ducati Corse, maka berekaan lebih ringan.

Melengkapkan casis motosikal tersebut adalah sub-kerangka hadapan daripada magnesium ringan dan sub-kerangka tempat duduk aluminium.

Selain itu, model Ducati Panigale V4 kini dilengkapi dengan ciri aerodinamik melibatkan aerofoil, skrin, reraup dan liang udara sisi.

Ini sekali gus memberikan penunggang lebih perlindungan selain meningkatkan kestabilan jentera secara keseluruhan.

Dengan teknologi baharu Ducati Traction Control (DTC) Evo 2 pula, kawalan tunggangan jentera tersebut dapat dipertingkat.

Panigale V4 dikuasakan oleh enjin Desmosedici Stradale 1,103cc yang mampu menghambur 214hp kuasa pada 13,000rpm dan tork sehingga 124Nm pada 10,000rpm.

Bagi Panigale V4 turut didatangkan dengan model V4 S dengan kelebihan fork Ohlins NIX-30, penyerap hentakan belakang Ohlins TTX36 dan peredam stereng Ohlins yang dikawal oleh sistem Ohlins Smart EC 2.0.

PENAMPILAN penuh Ducati Panigale V4 yang pastinya memikat ramai penggemar motosikal.

Model V4 dan V4 S tersebut dijual masing-masing pada harga RM132,900 dan RM172,000.

Bagi Ducati Panigale V2 pula, jentera tersebut menerima pembaharuan secara menyeluruh berbanding model-model sebelum ini oleh pasukan jurutera Ducati.

Jentera berkenaan didatangkan dengan rekaan baharu selain dipasangkan dengan sistem elektronik canggih berdasarkan platform 6-axis inertial.

Mod tunggangan

Bukan itu sahaja, dengan sistem suspensinya dan pemasangan tempat duduk lebih selesa, V2 menawarkan prestasi lebih baik dengan pengalaman penunggangan lebih menyeronokkan dan mesra pengguna.

Jentera itu dipadankan dengan kerangka monocoque sekali gus menjadikan motosikal berenjin silinder berkembar Superquadro itu kelihatan lebih garang.

Menerusi enjin itu, Panigale V2 boleh menghasilkan kuasa sehingga 155hp pada 10,750rpm dan mencapai tork maksimum 104Nm pada 9,000rpm.

Sementara itu, bagi sistem keselamatan, V2 dilengkapi dengan Kawalan Brek Enjin (EBC) EVO, Kawalan Wheelie Ducati (DWC) EVO, ABS Bosch Cornering EVO, Ducati Quick Shift Up/down (DQS) EVO.

Panigale V2 didatangkan dengan tiga mod tunggangan iaitu Race, Sport dan Street dengan pemilihan dibuat pada paparan skrin TFT 4.3 inci berwarna.

Bagi orang ramai yang berminat, Panigale V2 boleh dibeli pada harga RM109,900.

Dalam pada itu, Scrambler Icon Dark pula didatangkan dengan lampu LED nyalaan siang dan rekaan tempat duduk baharu.

Dengan sistem suspensi yang diperbaharui, kawalan klac hidraulik bertuil boleh laras dan switchgear ergonomik, jentera itu kini lebih selesa untuk ditunggangi.

Bagi ciri keselamatan pula, Scrambler Dark Icon dilengkapi dengan Bosch Cornering ABS.
Selain itu, jentera berkenaan didatangkan dengan Sistem Multimedia Ducati (DMS) yang menghubungkan sehingga empat peranti pada satu masa.

Ikonik

Scrambler Icon Dark dikuasakan oleh enjin Desmodromic L-Twin bersesaran 803cc yang menghasilkan 73hp kuasa pada 8,250rpm serta tork 67Nm.

Jentera yang didatangkan dengan warna terbaharu Matt Black (hitam) itu dijual pada harga RM49,900.

SCRAMBLER Icon Dark didatangkan dalam warna hitam yang menawan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings, Datuk Nik Hamdam Nik Hassan berkata, ketiga-tiga jentera itu mempunyai ciri ikonik serupa dengan model Ducati serta Scrambler yang lain.

Jelasnya, barisan model Ducati yang dilancarkan itu telah direka menggunakan kepakaran perlumbaan dimiliki Ducati sekali gus membenarkan pelanggan meningkatkan keupayaan tunggangan di trek, namun pada masa sama kekal selamat dan terkawal.

“Bagi model Scrambler pula, ia membolehkan pelanggan kami menggunakannya ibarat kanvas putih dan mengubah suainya mengikut kemahuan sendiri, lantas memberikan makna tersendiri,” katanya.

Tambahnya, berikutan pascapandemik yang dilalui ketika ini, Ducati berusaha memberi tumpuan kepada pelanggan menerusi platform dagangan online.

“Menggunakan platform dagangan online, pelanggan kini boleh melihat dan melakukan pembelian model Ducati dan Scrambler dengan mudah,” katanya.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Ducati Asia Pasifik, Marco Biondi pula berkata, pasaran di negara ini sentiasa melalui proses evolusi dan terus berkembang.

Justeru, katanya, menjadi komitmen mereka untuk membekalkan produk dan servis berkualiti di Malaysia.

“Menerusi tambahan tiga motosikal baharu Ducati ini, kami mahu menguatkan lagi jenama ini.

“Kami kekal dengan komitmen untuk menawarkan kepada peminat-peminat Ducati barisan produk hebat yang mengangkat falsafah jenama kami iaitu gaya sofistikated, prestasi dan kepercayaan,” katanya.

POPULAR

BERITA BERKAITAN