DAKAR – Penyanyi rap, Akon menyatakan rancangan untuk membina sebuah bandar dengan kos bernilai AS$6 bilion (RM24.8 bilion) di Senegal, tanpa mendedahkan pelabur utama projek berkenaan.
Akon atau nama sebenar, Alioune Badara Thiam, 47, berasal dari Senegal ialah bintang R&B dan mempunyai sejumlah lagu dan album berstatus platinum.
Antara lagu popular Akon ialah Locked Up dan Smack That. Keluarga Akon berpindah ke Amerika Syarikat semasa dia berumur tujuh tahun dan membesar di negeri New Jersey.
Akon berkata, dia sudah meletakkan batu asas untuk projek pembinaan bandar itu di perkampungan Mbodiene kira-kira 100 kilometer arah selatan ibu kota Senegal, Dakar.
Pemuzik itu berkata, dia kerap bertemu dengan ramai warga Afrika-Amerika yang dilihat seolah-olah tidak memahami budaya asal mereka.
“Jadi, saya mahu bina sebuah bandar atau projek seperti ini sebagai motivasi kepada mereka bahawa sebenarnya ada tempat dari mana (mereka) berasal,” katanya pada satu sidang akhbar di sini kelmarin.
Bandar Akon akan memiliki beberapa buah hotel, sebuah universiti, premis perniagaan dan pusat hiburan termasuk kasino serta studio filem dengan rekaan futuristik hasil rekaan arkitek Hussein Bakri.
Selain itu, Bandar Akon akan mempunyai satu perkampungan budaya Afrika.
Akon juga pernah menjayakan projek Akon Lighting Africa untuk membekalkan tenaga solar kepada penduduk setempat dan menyatakan bandar baharu itu juga akan menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui.
“Kami masih berbincang dengan rakan perniagaan dan pelabur-pelabur,” kata Akon sambil menambah ia terbuka untuk semua pelabur tempatan tanpa had nilai minimum.
Projek pembinaan akan bermula pada awal tahun depan dengan fasa pertama dijangka siap menjelang 2023.
Bandar itu merangkumi kawasan seluas 55 hektar dan akan diperluaskan hingga 500 hektar, termasuk pulau buatan manusia dan marina untuk kapal pelayaran.
Hussein menyatakan populasi bandar itu boleh mencapai hingga 300,000 penduduk. – AFP