fbpx

Penguat kuasa MBJB jadi hero tangkap peragut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penguat kuasa MBJB dan orang awam menahan suspek selepas meragut beg tangan seorang wanita dalam kejadian di Taman Mount Austin, Johor Bahru hari ini.

Oleh KHAIRUL MOHD. ALI

JOHOR BAHRU – Tindakan pantas seorang penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) beserta orang awam berjaya menahan seorang peragut dalam satu kejadian di Taman Mount Austin, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd Zain berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 12.45 tengah hari.

“Dalam kejadian itu, peragut yang menaiki sebuah motosikal telah bertindak meragut beg tangan seorang wanita berusia 30 tahun ketika sedang berjalan kaki melintas jalan.

“Mangsa yang ketakutan menjerit meminta bantuan sebelum disedari seorang penguat kuasa MBJB dan orang awam yang berusaha menahan suspek daripada melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohd. Padzli, dalam kejadian itu, suspek yang berusia 32 tahun mengalami kecederaan luka calar di lengan kiri.

“Suspek yang ditahan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala motosikal beserta helmet milik suspek dirampas.

“Polis mengucapkan tahniah dan syabas kepada penguat kuasa MBJB dan orang awam atas keberanian dan tindakan pantas mereka yang berjaya menggagalkan jenayah ragut tersebut,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebat.-K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI