Oleh NUR ALINA HASSAN
BAKRI- Seorang kakitangan awam antara empat individu ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah antarabangsa ke Indonesia, 24 Ogos lalu.
Pegawai Pemerintah Batalion 6, Polis Gerakan Am (PGA) Bakri, Muar, Superintendan Rozasin Ramlan berkata, suspek berusia 43 tahun itu ditahan di Jeti Nelayan Parit Jawa di sini, dipercayai untuk menyeludup bekalan dadah menggunakan jalan laut.
Menurut beliau, ketika serbuan pada pukul 9 pagi, suspek bersama seorang rakannya berusia 40-an yang merupakan tekong darat tiba di jeti itu sebelum didatangi dua lagi individu warganegara Indonesia yang menaiki bot.
“Dua pendatang asing tanpa izin (PATI) yang juga tekong laut berusia 38 tahun dan sekitar 40-an itu tiba di jeti dengan menggunakan bot jenis fiber sebelum keempat-empat suspek ini kemudian membuat persiapan bagi memindahkan bekalan dadah disyaki jenis syabu ke dalam bot.
“Ketika serbuan, polis telah menemui sembilan bungkusan dadah berwarna hijau seberat 9.3 kilogram (kg) yang dibungkus menggunakan plastik teh. Dianggarkan nilai rampasan dadah adalah sebanyak RM830,000,” katanya dalam sidang akhbar di Kem Batalion 6 PGA Bakri, di sini hari ini.
Rozasin berkata, kesemua bekalan dadah dirampas termasuk sebuah kenderaan jenis Proton Saga BLM dan sebuah bot fiber yang mana keseluruhan rampasan bernilai RM1.02 juta.
Tambah Rozasin, hasil soal siasat, kesemua suspek mengaku telah melakukan aktiviti pengedaran dadah menggunakan jalan laut sebanyak dua hingga tiga kali bagi sepanjang tahun ini.
Katanya, kesemua mereka ditahan reman selama 14 hari bermula 25 Ogos dan ke disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori. – K! ONLINE.














