Oleh NOR AINNA HAMZAH
SEREMBAN – Seorang pengurus kewangan dan perolehan Syarikat Dermaga Oil & Gas Sdn. Bhd. dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 11 pertuduhan mengubah bayaran gaji bulannya dan memindahkan gaji berkenaan dari akaun syarikat ke akaun peribadi.
Tertuduh seorang wanita berusia 37 tahun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret, Mahyun Yusof dan memohon untuk dibicarakan.
Dia dituduh telah mengubah bayaran gaji bulanan dan memindahkan gaji yang diubah daripada akaun syarikat ke akaun peribadinya bermula pada bulan Februari 2018 sehingga bulan Januari 2019.
Tertuduh telah memindahkan wang setiap bulan ke akaun peribadinya untuk tujuan kenaikan gaji beliau sendiri sebanyak RM4,000 tanpa pengetahuan pengarah syarikat.
Dengan itu, tertuduh telah melakukan pecah amanah jenayah iaitu dengan curangnya menyalahgunakan harta syarikat berkenaan dan dituduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh bakal berhadapan hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan maksimum 14 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi, manakala tertuduh diwakili peguam K. Kanagavalli.
Mahyun menetapkan 15 September depan untuk tarikh sebutan semula kes.
Difahamkan, susulan tindakan tertuduh, kerugian yang dialami syarikat berkenaan selama 11 bulan ialah RM44,000.
Pengarah urusan syarikat menyatakan tidak pernah menaikkan gaji tertuduh dan tertuduh dengan sendirinya menaikkan gaji dari RM9,000 ke RM13,000. – K! ONLINE