SAAT artikel ini dinukilkan, video muzik Peluang Kedua nyanyiannya sudah melepasi angka lima juta tontonon selepas lima hari dimuat naik dalam YouTube. Hal itu sekali gus meletakkan figura bernama Nabila Razali, antara artis tempatan yang merekodkan jumlah tontonan tertinggi untuk penghasilan sesebuah video muzik.
Terdahulu, lagu ciptaan Hael Husaini dan MFMF itu menunjukkan taring garang apabila beberapa minggu menjuarai carta RIM (Persatuan Industri Rakaman Malaysia) usai dilancarkan sekitar April lalu.
Video lirik rasmi lagu tersebut pula merekodkan jumlah tontonan 12 juta.
Istimewanya untuk video muzik rasmi, Nabila berkolaborasi buat kali pertama dengan penyanyi rap popular, MK daripada kumpulan K-Clique.

Nabila atau nama sebenarnya, Nur Nabila Mohd. Razali, 28, bukan sahaja ‘berduet’ dengan rapper kelahiran Sabah itu, dia juga berjaya ‘memujuk’ MK untuk membintangi video muzik tersebut.
“Orang fikir MK macam gengster tetapi sebenarnya apabila pertama kali bertemu, dia sebenarnya seorang yang sangat budiman dan sangat merendah diri.
“Bagaimanapun, idea pemilihan MK sebagai rakan duet dalam Peluang Kedua ‘versi baharu’ bukan datang daripada saya seorang. Idea itu adalah cantuman idea daripada syarikat pengurusan juga. Alhamdulillah, direalisasikan dengan sangat sempurna,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

MK K-Clique budiman
Untuk rekod, kejayaan muzik video Peluang Kedua mengumpul sejuta tontonan dalam tempoh 24 jam selepas dimuat naik dalam YouTube sekali gus menyamai pencapaian single keduanya, Pematah hati yang diluncurkan pada 2017.
Bercakap tentang populariti, Nabila yang merupakan graduan jurusan Ijazah Sarjana Muda Seni Bina di Universiti Sains Malaysia (USM) bertegas, dia bukan bersifat oportunis terhadap populariti MK yang sekarang sedang menggelegak dengan kumpulan M-Clique.
“Saya sedar dengan kemampuan vokal sendiri. Saya yakin yang saya ada pengikut tersendiri dan begitu juga MK.
“Tidak timbul soal siapa tumpang populariti siapa kerana kita buat video muzik demi peminat.
“Sejujurnya, saya gementar untuk berkolaborasi dengan MK kerana kami diibaratkan datang daripada dua dunia yang berbeza. Saya genre pop, dia pula cukup digeruni dengan nyanyian rapnya.
“Tetapi, bincang punya bincang, semuanya berjalan dengan lancar. Misalnya, saya minta komitmen berkelas A, MK bagi A+. Itu salah satu kualiti yang saya sangat kagumi datang daripada MK,” dedah Nabila panjang lebar.
Nabila turut tidak menolak sambutan hangat lagu berkenaan juga disebabkan MK K-Clique yang sememangnya menjadi kegilaan para wanita.
“Sudah tentu kredit bukan pada saya seorang kerana saya percaya MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan juga menjadi faktor untuk orang ramai tonton video muzik ini berulang kali.
“Dia juga memberikan kerjasama dalam mempromosikan lagu tersebut di laman sosial miliknya,” ujar Nabila.

NABILA mempertahankan dirinya bukan seorang artis yang sudah besar kepala, sebagaimana anggapan sesetengah pihak. – DAWIE (INSTAGRAM: @OHDAWIE)
Sedap empat minit
Ketika dipuji atas kejayaan tersebutnya, Nabila tidak terkecuali daripada dikecam segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengannya . Ada dalam kalangan netizen yang masih mencari kesilapan Nabila. Kisah vokal ‘terkucilnya’ saat menyanyikan lagu tersebut secara langsung terus diungkit.
Tersentuh dan hampir menitiskan air mata saat itu tersebut dibangkitkan dalam pertemuan, Nabila mengakui luka di hatinya belum sembuh sepenuhnya akibat dikecam sebegitu rupa.
Namun, insiden terbabit tidak mematahkan semangatnya. Dia nekad bangkit membuktikan dirinya layak berada dalam industri.
“Saya bangkit semula selepas apa yang terjadi tempoh hari. Sejujurnya, saya sangat tertekan dan perlukan waktu untuk bangkit dan bekerja semula.
“Bagi sesetengah orang, mungkin mereka anggap saya sudah biasa menyanyi seteruk itu. Tetapi bagi saya, itu satu isu besar sebab saya tidak rancang pun untuk menyanyi begitu. Itu persembahan pertama yang menyaksikan saya menyanyikan lagu Peluang Kedua secara langsung,” luahnya.
Nabila bagaimanapun melahirkan rasa syukur kerana di sebalik kecaman ‘berjemaah’ yang diterima, ada juga peminat yang tidak henti-henti memberi sokongan agar dia tidak mudah patah semangat dan berundur.
“Kalau saya mengalah, saya sudah lama sambung semula pengajian saya di universiti. Tetapi tidak, kerana ramai lagi yang masih memberikan sokongan dan dukungan.
“Bagi saya, mudah. Kalau ingin dengar lagu lain, silakan kerana ada berjuta lagu dalam dunia ini. Ingin dengar lagu saya, tengoklah YouTube saya,” katanya.

Profesional
Ditebak sama ada dia sudah bersedia untuk menyanyikan Peluang Kedua di pentas terbuka lain, jawab Nabila: “Ini cabaran saya sebagai anak seni. Insya-Allah, saya akan perbaiki lagi selepas ini.
“Apa yang terjadi, janganlah cari silap sahaja. Mustahil selama empat minit, semua nyanyian saya sumbang. Mesti ada bahagian lain yang sedap,” katanya.
Melanjutkan bicara, Nabila turut mempertahankan diri atas dakwaan tidak bersikap profesional ketika menjadi tetamu undangan dalam sebuah program radio swasta. Pintanya, biarlah isu berkenaan tidak lagi digembar-gemburkan.
“Sekiranya ada masalah, usahlah itu dijadikan bahan cerita. Mungkin saya telah terlepas pandang.
“Program tersebut dibatalkan pada saat akhir namun saya tetap hadir selepas dipanggil semula. Jadi, saya tetap datang dengan niat untuk mempromosi drama dan lagu nyanyian saya. Bagi saya, isu ini bukan besar sebab saya tetap beri komitmen pada saat akhir,” katanya.
Nabila turut memohon maaf sekiranya insiden yang terjadi melukakan hati mana-mana pihak.
“Saya minta maaf andai insiden itu mengguris hati mana-mana pihak. Kalau ada masalah, kita berbincang dan perkara ini boleh diselesaikan. Kalau saya salah, boleh tegur saya, tetapi tidak perlu dijaja kepada orang ramai.
Terdahulu, difahamkan Nabila telah menghadiri sesi temu bual bersama sebuah stesen radio. Kekecohan mula tercetus apabila Nabila telah menjawab panggilan daripada wakil stesen radio lain ketika sedang bersiaran langsung dengan pihak radio yang sedang menemu bual dirinya.
Mengulas tentang dakwaan dirinya sudah mula besar kepala, Nabila menafikan dakwaan tersebut.
“Saya masih ada di sini dan bertungkus-lumus untuk kekal berada di sini.
“Dahulu, apabila orang kata suara saya tidak sedap, saya pernah rasa tertekan dan rendah diri serta perlu ambil masa untuk bangkit semula.
“Jadi bagi saya, isu ini tidak perlu diperbesarkan,” katanya menutup perbualan.














