fbpx

Kereta terlipat, dua beradik selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN kereta yang terlipat dalam nahas membabitkan dua kenderaan awal pagi tadi.

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID

MELAKA – Dua beradik terselamat daripada maut biarpun kereta yang mereka naiki terlipat selepas merempuh sebatang pokok dalam nahas membabitkan dua buah kenderaan awal pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 12.30 pagi itu, mangsa lelaki berusia 58 tahun mengalami patah kaki kiri, manakala adiknya, berusia 57 tahun yang memandu kereta jenis Proton Wira hanya mengalami sakit dada.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Hasan Basri berkata, seorang lagi mangsa berusia 39 tahun yang memandu kereta lain bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kemalangan di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) berhadapan Taman Asean, Malim dipercayai berpunca daripada kereta dipandu lelaki 57 tahun itu terlanggar bahagian tepi sebuah kereta lain.

“Ketika kejadian kedua-dua kenderaan datang dari arah Cheng menuju ke bandar Melaka sebelum tiba-tiba kereta dipandu lelaki berusia 39 tahun itu yang berada di lorong kanan dilanggar dari bahagian tepi.

“Kemalangan mengakibatkan pemandu berkenaan gagal mengawal keretanya lalu terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar sebatang pokok,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Besar Melaka untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI