fbpx
KUMPULAN AZLAN & THE TYPEWRITER

Patriotisme Azlan & The Typewriter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBUT sahaja lagu-lagu bersifat patriotik, sesiapa pun rakyat Malaysia pasti mudah untuk terkenangkan untaian karya malar segar seperti Warisan, Tanggal 31, Bahtera Merdeka, Standing In The Eyes Of The World dan banyak lagi yang masih menjadi siulan ramai tidak mengira generasi, agama, warna kulit dan bangsa sehingga hari ini.

Memasuki era milennia, tidak banyak naskhah yang mengangkat nilai patriotisme berjaya meniti di bibir orang ramai.

Jika ada, bilangannya sangat minimum atau boleh dibilang dengan jari.

Impak yang diterima atau pengaruh yang diraih si pelantunnya, tidak sehebat apa yang ditinggalkan Allahyarham Sudirman Arshad mahupun penyanyi yang sinonim dengan lagu sedemikian, Roy.

KUMPULAN Azlan & The Typewriter (dari kiri) Arm, Jeff, Azlan, Aman dan Andy. – AMIR KHALID

 

Lagu bikin duit atau mengajar

Berbicara tentang senario tersebut bersama Azlan & The Typewriter, kumpulan yang diungguli pemilik vokal lantang itu mengakui hakikat semasa.

Si vokalisnya, Azlan atau nama sebenarnya, Nor Azlan Rosle, 38, berkata, lagu-lagu bersifat patriotik zaman sekarang sudah hilang taring kerana ramai beranggapan karya sebegitu bukan lagi satu perniagaan yang menguntungkan.

Martabatkan lagu patriotik

Jelas Azlan, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Kalau tidak terus dimartabatkan lagu-lagu bersifat patriotik, industri akan terus tenggelam dengan rantaian karya sempit yang tiada kepelbagaian.

“Bagi saya secara peribadi, muzik menjadi platform terbaik untuk mencernakan semangat patriotik.

“Kita menyanyi bukan hanya sekadar melontarkan dialog, kita juga bermain dengan perasaan.

“Dengan nyanyian atau muzik, semangat patriotik boleh dipupuk. Sebab itulah nilai atau semangat patriotisme harus dipupuk sejak kecil lagi, terutama zaman persekolahan.

“Kalau sudah besar baru ingin disental dengan semangat cintakan negara, bagi saya sebagai rakyat Malaysia yang tidak banyak ilmu ini, cara sebegitu barangkali sudah terlambat,” kata Azlan yang merupakan anak kelahiran Hulu Langat, Selangor.

SEKIRANYA diizinkan ruang dan kesempatan, Azlan & The Typewriter mahu melahirkan karya yang bukan berorientasikan keuntungan dan wang semata-mata, sebaliknya berjuang membawa aspirasi dan cinta negara untuk dikongsikan kepada seluruh pencinta muzik.

 

Kaedah menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan pendengar pula tidak perlu dilakukan dengan pendekatan terlalu berkias-kias atau tersirat.

“Pada hemat Azlan, masyarakat sekarang sudah berfikiran terbuka dan selesa berterus-terang.

“Pada pendapat saya, ingin ‘patriotikkan’ sesuatu lagu atau karya, tidak perlu terlalu berkias. Terus terang sahaja dalam bercerita melalui lagu.

“Sebab itu karya malar segar seperti 31 Ogos dendangan Allahyarham Sudirman masih boleh dinyanyikan semua orang tanpa mengira tua muda.

“Semua tahu bait-bait lirik lagu itu daripada mula sampai akhir,” getus Azlan.

Impak positif Covid-19

Ditebak pertanyaan tentang kebarangkalian benteng yang menjadi kekangan untuk lagu-lagu patriotik sekarang mudah bersemayam dalam hati pendengar, jawab Azlan bersahaja:

“Lagu-lagu zaman sekarang dibuat dengan motif keuntungan atau kita terlalu memikirkan keuntungan sedangkan perkara itu (impak) semestinya hadir kalau kita jujur dan amanah dengan bakat yang Allah berikan kepada kita.

“Saya faham, bukan senang untuk tidak berfikir tentang keuntungan apabila bekerja dalam bidang muzik sebab kita manusia, perlukan nasi dan wang untuk teruskan hidup.

“Saya percaya, motivasi orang ‘lama’ ialah bekerja bukan untuk wang semata-mata. Mereka bikin apa yang mereka boleh buat atas dasar cinta terhadap muzik dan ingin berkongsi hasil muzik kepada pendengar,” katanya penuh maksud mendalam.

Ditanya signifikan Hari Kemerdekaan ke-63 tahun ini, Azlan melihat dari sudut positif walaupun satu dunia teruji dengan pandemik Covid-19 termasuk Malaysia.

Hal tersebut menguatkan hubungan lebih 30 juta rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

“Biarpun kita masih berperang melawan Covid-19, satu perkara yang saya perasan ialah kebersatuan rakyat Malaysia. Itulah yang menjadi refleksi paling nyata kepada kita semua.

“Saya akui masih banyak ruang lagi dalam negara ini yang boleh diperbaiki daripada segi politik, ekonomi dan sosial, namun apabila bercakap tentang usaha menentang sesuatu ancaman, kita memang juara.

“Covid-19 membenihkan sesuatu yang kita tidak nampak sebelum ini.” ujar Azlan penuh semangat.

AZLAN percaya muzik mampu bertindak sebagai ejen penyatuan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, budaya, adat resam bagi membentuk kehidupan sentosa, harmoni dan saling berbahagi aspirasi.

 

Barisan Hadapan

Melanjutkan bicara, Azlan & The Typewriter sempat melancarkan single berjudul Barisan Hadapan yang ditulis mengambil inspirasi kerja-keras barisan frontliners sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Lagu tersebut tercipta sekitar dua minggu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diwartakan kerajaan.

“Lagu ini saya tulis untuk menghargai jasa petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Lagu ini adalah bingkisan terima kasih Azlan & The Typewriter mewakili rakyat Malaysia kepada mereka yang bekerja keras, meninggalkan keluarga serta tidak cukup tidur semata-mata demi komitmen mahu membebaskan negara daripada virus berbahaya,” katanya.

Diusik tentang impak yang lebih besar yang diraih ketika bersama Meet Uncle Hussein berbanding Azlan & Typewriter, Azlan tidak melatah, sebaliknya begitu tutupnya:

“Sewaktu dengan Meet Uncle Hussein, saya akui motivasi muzik kami lebih ke arah ‘peniagaan’.

“Dengan Azlan & The Typewriter, kalau boleh saya mahu muzik kami menjurus ke arah mendidik orang.

“Bagaimanapun, tidak salah andai dua-dua aspek itu seiring. Insya-Allah, perlahan-lahan kita majukan muzik Malaysia bersama, bukan untuk Azlan & Typewriter sahaja bahkan usaha daripada semua pemuzik di negara ini.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN