fbpx
SIMPULAN reben ini diinspirasikan daripada bendera Jalur Gemilang dan bayangan wajah ikonik Tunku Abdul Rahman.

K2

Mesej perpaduan Projek57

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEBIASAANNYA dua sahabat itu akan minum kopi sambil berbincang mengenai hal-hal perniagaan yang diusahakan mereka. Namun, berbeza pada hari itu yang berlaku sekitar tahun 2015.

Topik perbincangan Syed Sadiq Albar, 45, dan Collin Swee, 52, lebih menjurus kepada isu polarisasi kaum dan semangat cintakan negara yang kian pudar dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Mereka berdua yang telah bersahabat selama dua dekad merasakan isu perpaduan dan patriotisme seakan bergerak ke belakang sedangkan negara menuju abad ke-21.

Bertitik tolak daripada rasa tanggungjawab terhadap isu tersebut, mereka berdua yang menjalankan perniagaan kejuruteraan telah bersepakat menubuhkan satu projek dinamakan Projek57 pada tahun tersebut berteraskan amanat Bapa Kemerdekaan negara, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

“Masa depan kita adalah bergantung kepada betapa eratnya pelbagai kaum untuk hidup secara harmoni dan bekerjasama.” Demikian pesanan yang pernah diungkapkan Perdana Menteri pertama Malaysia itu.

Pengasas Bersama Projek57, Syed Sadiq berkata, misi utama pihaknya adalah untuk menyebarkan rasa cinta kepada negara dan menyemarakkan keharmonian semua kaum di Malaysia.

“Kami ingin berkongsi visi yang sama dengan Perdana Menteri Pertama dan juga Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman itu.

“Justeru, kami giat mengadakan seminar, bengkel dan dialog bagi membincangkan isu-isu keharmonian kaum dan semangat patriotisme,” katanya ketika ditemui di PPR Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

COLLIN (kiri) dan Syed Sadiq mahu melihat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia terus dipertahankan.

Bagaikan serampang dua mata, Projek57 yang merupakan inisiatif keusahawanan sosial bermesejkan semangat cintakan negara, turut memberi fokus kepada pemerkasaan belia terutamanya

Orang Asli dan mereka yang kurang bernasib baik.

Pihaknya menjual pelbagai barangan cenderamata seperti beg, baju-T, cawan dan buku nota yang direka dengan mesej positif bagi menyeru orang ramai kepada perpaduan dan cintakan negara.

Jelajah

Hasil daripada penjualan barangan akan disalurkan kepada mereka yang kurang berkemampuan.

Terang Syed Sadiq, aktiviti yang diaturkan mereka banyak melibatkan belia, pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi dan komuniti Orang Asli yang menjadi kunci misi Projek57.

“Kami telah menjelajah ke seluruh pelosok negara untuk menjalankan misi ini dengan memberi penerangan mengenai sejarah negara, keunikan dan keindahan Malaysia.

“Projek57 banyak juga membuat kolaborasi dengan badan-badan korporat dan institusi pendidikan bagi menyebarkan semangat patriotisme serta perpaduan yang dikuatkan lagi dengan program Unity Ribbon (Reben Perpaduan),” ujar anak Kuala Lumpur itu.

Mengulas mengenai Unity Ribbon yang merupakan acara tahun Projek57, Syed Sadiq berkata, ia merupakan simbol harapan untuk masa hadapan yang lebih baik.

“Reben ini membawa simbol kemerdekaan dan perpaduan yang mana setakat ini kita tidak mempunyai sebarang lambang untuk menyampaikan misi tersebut.

“Menariknya, reben-reben itu ialah hasil tangan anak-anak muda Orang Asli, golongan austistik dan kurang upaya serta mereka kurang berkemampuan yang mana mereka turut menerima upah membuat reben tersebut,” ulasnya.

Reben yang diinspirasikan daripada Jalur Gemilang dan bayangan ikonik wajah Tunku Abdul Rahman itu boleh disematkan pada pakaian sebagai lambang cintakan negara.

TIGA kanak-kanak menunjukkan reben Unity Ribbon yang dihasilkan mereka dalam satu bengkel pembuatan reben itu di Kota Damansara, Selangor.

Sementara itu, Collin berkata, mereka berdua menggabungkan pengalaman dalam bidang perniagaan untuk menjalankan perusahaan sosial itu yang membawa matlamat menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan.

“Perusahaan sosial masih baharu di negara ini dan ramai orang belum memahaminya kerana masing-masing sudah terbiasa dengan kerja amal seperti dilakukan kelazimannya iaitu memberi sumbangan wang kepada organisasi tertentu untuk menjalankan kerja-kerja amal.

“Sebaliknya, perusahaan sosial ini menjual barangan tertentu dan hasil keuntungan itu 100 peratus diagihkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Tutur Collin, pihaknya banyak memberi tumpuan kepada belia Orang Asli kerana jika dibandingkan dengan kaum lain, mereka agak terkebelakang dari segi pendidikan dan taraf hidup.

Setakat ini mereka memberi bantuan biasiswa pendidikan kepada belia Orang Asli dan akan dibuka kepada kaum-kaum lain pada masa akan datang.

Seramai 10 orang telah menerima manfaat biasiswa itu untuk melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat menara gading.

Mengulas mengenai aktiviti sempena kemerdekaan, Collin berkata, tahun ini, pihaknya giat menjalankan bengkel-bengkel dan dialog dalam skala yang terkawal ekoran pandemik Covid-19.

Antaranya seperti sesi dialog Rukun Negara Sebagai Asas Perpaduan Bangsa Malaysia yang dilaksanakan di Universiti Malaya, Bengkel Reben Perpaduan di PPR Kota Damansara dan juga perlawanan bola sepak Unity Football.

Projek57 juga merupakan organisasi pelopor yang telah menerima akreditasi Keusahawanan Sosial oleh Kementerian Pembangunan Usahawan.

Dalam pada itu, seorang penerima biasiswa daripada Projek57, Jorita Rosman, 25, melahirkan kegembiraan kerana berpeluang melanjutkan pelajaran dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan di Saito University College, Petaling Jaya, Selangor.

“Saya tidak menyangka dapat melanjutkan pelajaran kerana ini adalah harapan yang telah disimpan sekian lama tetapi terpaksa dipendamkan kerana masalah kewangan.

“Dahulu, saya pernah menyambung pelajaran tetapi terpaksa berhenti separuh jalan kerana masalah kewangan,” cerita gadis Orang Asli dari suku Temiang berasal dari Gua Musang, Kelantan itu.

Anak ketujuh daripada lapan beradik itu berkata, Projek57 banyak memberinya inspirasi untuk menjadi rakyat Malaysia yang cintakan negara dan menerima kaum-kaum lain seperti sebuah keluarga yang besar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI