fbpx

Dos Santos wira Harimau Kumbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DOS SANTOS (tengah) berjaya menjaringkan tiga gol buat Pulau Pinang pada minit ke-53, 66 dan 93 dalam perlawanan yang menyaksikan Kelantan terpaksa beraksi dengan 10 pemain. - FB FA PENANG

KUALA LUMPUR – Tonggak import dari Brazil, Endrick Dos Santos muncul wira Pulau Pinang apabila meledak hatrik menewaskan Kelantan 3-0 pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu semalam.

Kemenangan itu melonjakkan skuad Harimau Kumbang ke tangga kedua Liga Premier dengan 11 mata hasil daripada tiga kemenangan dan dua keputusan seri dalam lima perlawanan setakat ini.

Ketua jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abdul Wahid gembira dengan tiga mata bermakna itu kerana menyifatkan Kelantan adalah pasukan sukar kerana pernah mencatat kemenangan besar 5-1 ke atas kelab Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC minggu lalu.

“Bukan mudah sebenarnya untuk menembusi benteng pertahanan Kelantan yang agak kental. Semangat pemain-pemain Kelantan juga agak baik selepas perlawanan menentang UKM.

“Dua sepakan penalti dalam perlawanan ini menaikkan semangat para pemain saya. Walaupun permainan kami tidak seperti apa yang saya harapkan tetapi kesungguhan pemain membolehkan kami berjaya meraih tiga mata,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.

Beliau juga berbangga dengan semangat juang ditunjukkan barisan pemainnya mengambil peluang selepas penyerang utama Pulau Pinang, Casagrande dikunci ketat barisan pertahanan The Red Warriors sepanjang perlawanan itu.

“Kita boleh lihat dua atau tiga pemain Kelantan membuat halangan setiap kali Casagrande mendapat bola. Saya rasa agak lega kerana ada pemain lain yang dapat mencipta peluang ketika Casagrande dirantai pemain-pemain Kelantan,” jelasnya.

Skuad Harimau Kumbang selepas ini dijadualkan berdepan pasukan tangga kelapan Liga Premier, Negeri Sembilan di Stadium Bandaraya pada 4 September ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI