fbpx

Lelaki maut jatuh tingkat tujuh HUSM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh ROHANA MOHD NAWI

KOTA BHARU – Seorang lelaki maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini pagi tadi.

Mangsa, Muhammad Syazwan Akrram Mohd Baidilah, 21, yang berasal dari Pasir Hor dekat sini ditemui dalam keadaan terlentang di kawasan parkir staff HUSM kira-kira pukul 4.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner, Abdul Rahim Daud berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan.

Katanya, sebaik menerima maklumat, sepasukan pegawai dan anggota polis dikejarkan ke tempat kejadian untuk melakukan pemeriksaan terhadap mangsa.

“Berdasarkan siasatan, kejadian disedari oleh pengawal keselamatan yang bertugas di lobi telah terdengar dentuman yang kuat di kawasan parkir staff berkenaan.

“Pengawal itu kemudian bergegas keluar dan mendapati seorang lelaki berada dalam keadaan terbaring secara terlentang dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Menurut Abdul Rahim, pengawal keselamatan itu kemudian menghubungi doktor bertugas sebelum melaporkan kejadian tersebut polis.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati, mangsa terjatuh dari wad 7 Selatan yang tidak mempunyai jeriji di kawasan koridor.

“Mangsa dimasukkan ke wad tersebut kira-kira pukul 3.30 pagi semalam. Bagaimanapun, polis masih belum mendapat laporan perubatan mangsa dari pihak hospital.

“Mangsa dipercayai keluar menerusi tingkap sebelum terjatuh. Tiada sebarang objek yang mencurigakan selepas melakukan pemeriksaan di katil mangsa,” katanya.

Tambah Abdul Rahim, pemeriksaan terhadap mangsa mendapati tiada kesan-kesan yang meragukan berkaitan jenayah.

Siasatan lanjut masih dilakukan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN