Oleh AFIFI HAFIZ MOHD NOR
NILAI – Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan dengan sebuah lori di jalan Nilai ke Pajam di sini semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar, pemandu lori yang merupakan seorang lelaki berusia 33 tahun dalam perjalanan dari Mantin ke Bandar Enstek.
Katanya, semasa sampai di tempat kejadian pemandu lori perasan seperti terlanggar sesuatu dan terus memberhentikan kenderaan.
“Akibat daripada kemalangan itu penunggang motosikal berusia 58 tahun itu maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Tambahnya, mayat penunggang motosikal itu dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar di Seremban untuk dibedah siasat.
“Sampel darah pemandu telah diambil untuk mengesan kandungan alkohol atau dadah.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambahnya. – K! ONLINE