fbpx

UiTM sasar RM15 juta bidaan nombor pendaftaran khas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Zainal (tengah), Mohd. Azraai (kiri) dan Timbalan Pengarah Bahagian Pelesenan JPJ, Mohd. Hafiz Shamsani Othman menunjukkan nombor siri khas pendaftaran itu di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam hari ini. Foto oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyasarkan RM15 juta untuk bidaan nombor siri khas pendaftaran UiTM yang mula dibuka bermula hari ini.

Jumlah itu melibatkan nombor pendaftaran bermula UiTM 1 hingga UiTM 9999 melalui platform sistem bidaan UiTMBida.

Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, jualan nombor pendaftaran itu bertujuan membantu penjanaan pendapatan dan Tabung Endowment universiti tersebut.

“Keseluruhan hasil jualan itu akan disalurkan untuk pemberian biasiswa pelajar, mobiliti, penyelidikan dan pembangunan (R&D) universiti.

“Berdasarkan tinjauan awal, kami yakin mampu mencapai sasaran RM15 juta kerana mempunyai lebih 700,000 alumni di seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan
sistem bidaan itu di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Azraai Kassim dan Timbalan Pengarah Bahagian Pelesenan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Mohd. Hafiz Shamsani Othman.

Ujar Syed Zainal, nilai bidaan minimum bagi setiap nombor pendaftaran itu telah ditetapkan pihaknya mengikut kategori masing-masing.

“Bagi kategori Prima yang termasuk nombor utama, harga bidaan dibuka bermula antara RM2,500 hingga RM20,000.

“Nilai bidaan bagi kategori terpilih, terhad dan biasa pula dibuka antara RM500 hingga RM2,000,” katanya.

Menurutnya, semua pihak termasuk orang awam yang berminat membuat bidaan boleh melayari laman sesawang https:// uitmbida.uitm.edu.my.

Dalam pada itu, Mohd. Hafiz berkata, JPJ akan memantau sistem bidaan dibangunkan UiTM tersebut setiap enam bulan bagi mengelak sebarang kesulitan.

“Pemantauan itu akan dijalankan dalam tempoh tiga tahun sehingga proses bidaan semua nombor selesai sepenuhnya,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI