ALMERE, BELANDA – Bekas bintang Bayern Munich, Arjen Robben turun ke padang untuk kali pertama selepas membuat ‘pusingan U’ keluar daripada persaraan dua bulan lalu.
Pemain sayap veteran itu bermain selama 30 minit dengan kelab baharunya di Belanda, Groningen sewaktu seri 1-1 dengan Almere City dalam aksi persahabatan di Stadium Yanmar malam kelmarin.
Bagaimanapun, Robben, 36, menegaskan, kehadirannya bersama Groningen bukan disebabkan mahu melariskan jualan tiket, sebaliknya bertekad membantu kelab kesayangannya itu dalam semua 34 perlawanan Eredivise musim depan.
“Saya rindu untuk merasai suasana perlawanan selepas lama tidak bermain. Walaupun cuma beraksi selama setengah jam tetapi ia satu langkah yang cukup besar buat diri saya.
“Saya mahu membantu Groningen di atas padang, bukan kerana mahu melariskan jualan tiket tahunan atau jersi pasukan semata-mata.
“Kalau boleh saya mahu bermain semua 34 perlawanan liga bersama Groningen tetapi ia adalah sesuatu yang mustahil disebabkan faktor umur saya sekarang,” katanya.
Groningen dijadualkan menghadapi aksi pertama saingan musim baharu Eredivisie menentang PSV Eindhoven di Stadium Hitachi pada 13 September ini.
Sebagai rekod, Robben keluar daripada persaraan kerana mahu membantu Groningen menghadapi situasi sukar disebabkan penularan wabak pandemik Covid-19. – AGENSI














