LANGAU, AUSTRIA – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menikmati kemenangan pramusim pertama apabila mencatat kemenangan 3-0 ke atas kelab Bundesliga, VFB Stuttgart dalam aksi persahabatan di Stadium Sportplatz Langau awal pagi semalam.
The Reds yang menurunkan hampir semua pemain terbaik dalam perlawanan itu, berjaya meraih tiga gol menerusi Roberto Firmino, Naby Keita dan Rhian Brewster.
Klopp, 53, amat berpuas hati dengan corak permainan skuad bimbingannya terutama prestasi pemain pertahanan kiri baharu, Konstantinos Tsimikas yang dimasukkan pada babak kedua menggantikan tempat Neco Williams.
“Saya tahu kami mempunyai pemain yang benar-benar bagus dan itulah yang mereka lakukan hari ini (awal pagi semalam). Saya juga kagum dengan aksi Tsimikas yang menunjukkan keyakinan tinggi dalam perlawanan ini.
“Cabaran berikutnya buat Tsimikas adalah dia perlu cepat membiasakan diri dengan tekanan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL). Saya percaya dia tidak akan menghadapi masalah besar.
“Secara keseluruhan, saya sangat gembira kerana para pemain mampu mengatasi masalah bermain dalam keadaan padang yang licin disebabkan hujan. Begitupun, mereka masih boleh menampilkan aksi yang baik,” katanya.
Sebagai rekod, Liverpool berjaya menandatangani Tsimikas dengan yuran perpindahan bernilai £11.7 juta (RM64 juta) daripada kelab juara Greece, Olympiakos pada 10 Ogos lalu. – AGENSI














